PONDOL Tol Rawang Selatan rosak dirempuh lori.
Mohd Azam Shah Yaacob
mohdazam@mediaprima.com.my


KEGAGALAN seorang pemandu lori menghentikan kenderaan dipandu ketika menghampiri plaza tol menyebabkan dua pondol tol di Plaza Tol Rawang Selatan, roboh.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari’at berkata, kejadian jam 2.05 petang, hari ini, membabitkan tiga lori.

Bagaimanapun katanya, kejadian itu tidak membabitkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa.

“Kejadian berlaku apabila sebuah lori dipandu lelaki berusia 23 tahun gagal menghentikan kenderaan sebaik menghampiri plaza tol lalu melanggar sebuah lori yang sedang melalui pondok tol berkenaan.

“Pelanggaran itu menyebabkan lori kedua itu bergerak ke hadapan dan merempuh dua pondok tol serta sebuah lori lain,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, rempuhan menyebabkan dua pondok tol berkenaan rosak.

“Buat masa ini, dua pemandu lori dalam kejadian sudah membuat laporan polis berhubung kejadian.

“Namun, polis masih menunggu pemandu lori pertama yang menjadi penyebab kemalangan tampil membuat laporan,” katanya.

Azman berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan meminta saksi kejadian tampil membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Ogos 2019 @ 11:25 PM