RABIATUL Adayywiyyah menunjukkan laci tempat menyimpan wang tunai RM3,000 sebelum dilarikan dua lelaki di kedai makannya di Pantai Sura Hujung, Dungun, semalam. FOTO Rosli Ilham.
Rosli Ilham
am@hmetro.com.my


DUA lelaki berpura-pura mahu menempah 40 bungkus nasi dan air sebelum melarikan wang tunai RM3,000 dalam kejadian di kedai makan di Pantai Sura Hujung, Dungun, semalam.

Kejadian berlaku pada 9.30 pagi ketika pemilik, Rabiatul Adayywiyyah Ahmad Jalani, 35, sedang membuat persiapan untuk membuka kedai manakala pembantunya, Marina Zainal, 47, memotong sayur di luar kedai.

Rabiatul Adayywiyyah berkata, dua lelaki datang ke kedainya dengan seorang daripadanya menunggu di dalam kereta manakala seorang lagi membuat tempahan.

“Dia mendakwa bekerja sebagai syarikat kontraktor dan menempah 40 bungkus nasi serta air sebelum meminta tempahan itu disiapkan dengan segera.

“Saya beritahu tempahan itu tidak boleh disiapkan segera dan kami memerlukan masa satu jam 30 minit untuk menyiapkan tempahan mereka.

“Lelaki terbabit menyatakan mereka boleh menunggu sebelum saya dan suami, Osman Che Mat, 47, masuk ke dapur untuk memasak,” katanya ketika ditemui di kedainya, hari ini.

Rabiatul Adayywiyyah berkata, seorang daripadanya berbual dengan pekerja berhampiran kaunter manakala lelaki yang sebelum ini berada dalam kereta tiba-tiba keluar dan berlegar-legar di dalam kedai.

Katanya, beberapa minit kemudian, dua lelaki terbabit meminta izin untuk beredar dengan alasan pekerjanya menelefon memaklumkan berlaku kebocoran paip di tempat kerja.

“Bagaimanapun, mereka tidak muncul mengambil tempahan itu dan saya hanya menyedari kehilangan beg duit mengandungi wang tunai RM3,000, kad bank dan kad pengenalan ketika mahu memulangkan wang baki seorang pelanggan.

“Saya percaya ini kerja mereka dan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun pada 4.16 petang semalam untuk tindakan lanjut.

“Ketika pergi ke bank untuk melaporkan kehilangan kad, saya dimaklumkan wang tunai berjumlah RM100 dikeluarkan di sebuah mesin pengeluaran wang automatik di Kemaman,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana melakukan curi dalam bangunan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Ogos 2019 @ 11:18 PM