GAMBAR hiasan
Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my


KERESAHAN bapa apabila mendapati anak perempuannya berusia 16 tahun tidak pulang ke rumah selama empat hari membongkar kisah anaknya dirogol teman lelakinya.

Kejadian dipercayai berlaku selepas bapa mangsa berusia 47 tahun itu mendapati anaknya tidak pulang ke rumah mereka di Air Hitam, Jitra, Kubang Pasu sejak 12 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim berkata, pengadu hanya menyedari anaknya pulang ke rumah pada 6 petang dan dihantar tiga lelaki.

Beliau berkata, bapa mangsa bertanyakan kepada salah seorang lelaki itu dan dimaklumkan mereka membawa remaja perempuan itu ke rumah salah seorang lelaki di Kuala Sanglang.

“Berikutan itu, bapa mangsa mengesyaki sesuatu mencurigakan dan bimbang keselamatan anaknya menyebabkan dia membawa mangsa ke balai polis berhampiran.

“Mangsa kemudian mengaku melakukan seks dengan seorang lelaki tiga kali di kawasan Kuala Sanglang menyebabkan bapa mangsa terus membuat laporan polis,” katanya.

Mohd Ismail berkata, remaja perempuan itu masih bersekolah di Tingkatan Empat di sebuah sekolah di daerah itu.

Beliau berkata, siasatan mendapati mangsa dipercayai melakukan seks di sebuah kedai tidak berpenghuni berhampiran kawasan tambak Sungai Padang pada 4 petang 12 Ogos lalu.

“Mangsa dipercayai melakukan perbuatan sama ketika menumpang tidur di sebuah rumah kenalan mereka 3 pagi pada hari berikutnya dan kali ketiga di sebuah pondok di tengah sawah di Kuala Sanglang 13 Ogos lalu 10 pagi.

“Siasatan mendapati, teman lelaki mangsa berusia 18 tahun bekerja di kantin di sekolah tempat mangsa belajar,” katanya.

Mohd Ismail berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol gadis bawah umur.

Beliau berkata, mangsa kemudian dibawa ke Hospital Jitra untuk menjalani pemeriksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Ogos 2019 @ 6:01 PM