FOTO hiasan
Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my


TINDAKAN undang-undang akan dikenakan terhadap individu dikesan terbabit dengan insiden penghinaan terhadap Jalur Gemilang termasuk dipasang atau digantung secara terbalik.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, pihaknya memandang serius perkara itu kerana memberi pelbagai persepsi dalam kalangan masyarakat.

Katanya, Jalur Gemilang sebagai lambang kedaulatan negara dan tindakan boleh diambil mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana mengaibkan dengan niat hendak memecahkan keamanan.

“Kebelakangan ini kami mengesan beberapa insiden membabitkan penghinaan terhadap Jalur Gemilang sama ada dipasang atau digantung secara terbalik atau digunakan bagi maksud tidak sewajarnya.

“Keadaan ini memberi persepsi pelbagai dalam kalangan masyarakat kerana bendera adalah lambang kedaulatan negara,” katanya dalam kenyataan di Johor Bahru, hari ini.

Menurutnya, pihak didapati melakukan perbuatan itu boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Katanya, tindakan juga boleh diambil mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang membawa hukuman denda maksimum RM100.

“Selain itu, tindakan boleh diambil mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Menurutnya, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa menjaga kedaulatan negara dan tidak menyebarkan berita tidak dapat dipastikan kesahihannya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Ogos 2019 @ 5:35 PM