Pegawai MAQIS menunjukkan lima kotak karkas ikan salmon yang dirampas di laluan kereta KIK di BSI, Johor Bahru pada Jumaat lalu. Foto Ihsan MAQIS
Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my


JABATAN Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Johor mematahkan cubaan seludup lima kotak karkas dipenuhi dengan ikan salmon bernilai RM5,312 di laluan kereta Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin (KIK) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Johor Bahru, Jumaat lalu.

Pengarah MAQIS Johor Nur Afifah A Rahman berkata, rampasan itu hasil pemeriksaan dua anggotanya terhadap sebuah Toyota Unser dipandu lelaki tempatan berusia 51 tahun pada 9 malam.

“Hasil pemeriksaan terhadap kenderaan itu membawa kepada penemuan lima kotak berisi karkas ikan salmon.

“Konsainan seberat 129.6 kilogram itu ditemui di bahagian tempat duduk belakang dan penyimpanan barang kenderaan terbabit,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati individu terbabit gagal mengemukakan permit import yang dikeluarkan MAQIS.

“Konsainan itu ditahan dan disita untuk tindakan lanjut,” katanya.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) iaitu mengimport tanpa permit yang boleh dihukum mengikut Seksyen 11(3) akta yang sama.

“Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dihukum penjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya, boleh didenda tidak melebihi RM150,000 atau penjara tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Ogos 2019 @ 5:19 PM