Kakitangan JAS menunjukkan sisa plastik diambil di sebuah kilang haram memproses plastik di Jalan Pantai, Seremban. FOTO ADZLAN SIDEK
Hasbi Sidek
mohd.hasbi@hmetro.com.my


BUKAN hanya menjalankan operasi secara haram, dua kilang dekat Jalan Jelebu, Seremban, turut dikesan menyebabkan pencemaran udara, sekali gus menyebabkan penduduk setempat tidak selesa.

Malah kedudukannya antara 200 hingga 300 meter dari jalan utama selain tersorok daripada pandangan mata amat mencurigakan sebelum risikan dilakukan Pasukan Aduan dari Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan mendapati kedua-dua kilang berkenaan mengeluarkan bau dan bahan menyumbang kepada pencemaran udara.

Bagaimanapun, seolah dapat menghidu pergerakan pihak berkuasa, dua kilang ini tidak beroperasi ketika serbuan dijalankan jam 11 pagi, hari ini, malah kawasannya lengang.

Serbuan di kilang pertama mendapati ia menjalankan proses meleburkan timah yang menggunakan arang batu sebagai bahan api, namun asap daripada arang batu berkenaan menyebabkan pencemaran udara.

Semakan mendapati, kilang berkenaan tidak mempunyai sebarang lesen dan beroperasi di atas tanah berstatus pertanian.

EXCO Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan berkata, serbuan di kilang kedua turut mendapati kilang berkenaan tidak beroperasi dan lenggang tanpa pekerja.

“Kilang memproses plastik terpakai ini didapati tidak mempunyai lesen. Malah, ia dikesan menghasilkan pencemaran udara.

“Kedua-dua kilang ini ditahan operasinya mengikut Seksyen 38 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 selain kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 34A akta sama kerana menjalankan aktiviti tanpa mendapat kelulusan laporan kesan kepada alam sekeliling (EIA) dari JAS,” katanya ketika sidang media sejurus selesai operasi.

Beliau berkata, pemeriksaan sebuah lagi kilang yang membuat lantai seramik mendapati, ia beroperasi tanpa alat kawalan udara bagi mengawal pencemaran yang dihasilkan sebelum diberikan notis arahan mengikut Seksyen 31 dan 37 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 supaya memasang alat berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Ogos 2019 @ 4:55 PM