Mohd Ismail (kanan) dan timbalannya, Deputi Superintendan Chien Chunng Tsaur menunjukkan fotofit dua lelaki yang disyaki terbabit dalam beberapa kes samun di Kubang Pasu. Foto Zuliaty Zulkiffly
Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my


DUA lelaki dipercayai terbabit dengan beberapa kejadian samun di sekitar Kubang Pasu sejak Mei lalu sedang diburu polis.

Seorang daripada lelaki berkenaan dipercayai menggunakan taktik menyamar sebagai anggota polis untuk ‘menakutkan’ warga asing, manakala seorang lagi menjadikan penunggang motosikal sebagai sasaran untuk mendapatkan wang dengan menggunakan kekerasan.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Superintendan Mohd Ismail Ibrahim berkata, seorang lelaki yang juga pekerja warga Nepal disamun seorang daripada suspek berkenaan yang melarikan wang tunai RM55 dan telefon bimbit dalam kejadian pada 7.20 malam Mei lalu.

Menurutnya, suspek dikatakan menyamar sebagai anggota polis dan meminta mangsa menunjukkan pasport sebelum mengambil dompet mangsa dan melarikan diri.

“Selepas itu, seorang wanita Thailand berusia 58 tahun turut disamun di kawasan Bukit Kayu Hitam pada Jun lalu kira-kira 10 pagi dipercayai dilakukan suspek yang sama.

“Suspek yang menunggang motosikal warna merah sempat melarikan diri selepas menyamun wang tunai sebanyak 5,000 baht (RM600) dari mangsa,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu hari ini.

Mohd Ismail berkata, seorang wanita berusia 28 tahun pula ditendang penyamun yang kemudian mengambil dompet yang diletakkan dalam raga motosikal ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di FELDA Bukit Tangga dari Bukit Kayu Hitam dalam kejadian pada 6 Ogos lalu.

Menurutnya, mangsa dikatakan dipaksa supaya memberhentikan motosikal yang ditungganginya di tepi jalan sebelum suspek menendangnya.

“Suspek yang memakai topi keledar warna hitam, kemeja-T merah dan seluar denim biru gelap serta bertubuh kurus itu kemudian melarikan diri sejurus mengambil dompet mangsa.

“Kesemua mangsa membuat laporan polis untuk memaklumkan kejadian itu dan berdasarkan maklumat yang diperolehi, kita berjaya memperoleh lakaran fotofit dua lelaki berusia antara 20-an dan 30-an untuk membantu siasatan,” katanya.

Mohd Ismail berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kedua lelaki berkenaan boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu di talian 04-9172222 (Asisten Superintendan Mohd Shuhaimi Joohari) untuk membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Ogos 2019 @ 4:49 PM