FOTO hiasan
Mohamad Hussin
mohamad_hussin@hmetro.com.my


PENGENDALI perkhidmatan teksi premium, Big Blue Capital (M) Sdn Bhd mendesak kerajaan tidak meluluskan perkhidmatan teksi motosikal atau dikenali Go-Jek kerana memberi kesan negatif kepada masyarakat.

Pengasas dan Penasihatnya, Datuk Shamsubahrin Ismail berkata, kerajaan sepatutnya tidak melayan cadangan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang cuba membawa masuk Go-Jek ke negara ini.

Beliau berkata, cadangan itu dianggap merendahkan martabat anak muda yang sepatutnya mempunyai pekerjaan lebih baik daripada Go-Jek.

“Saya difahamkan mesyuarat Kabinet petang ini, Syed Saddiq akan membentangkan cadangan itu dan ia patut ditolak jemaah menteri kerana membelakangkan masa depan anak muda.

“Anak muda perlu mendapat pekerjaan lebih baik. Dimanakah janji Syed Saddiq untuk membantu anak muda mendapat kerja dan bukannya dengan cara membawa Go-Jek?.

“Macam mana negara nak maju kalau anak muda diberi kerja membawa Go-Jek dan sampai bila mereka harus dipandang hina,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Kuala Lumpur, hari ini.

Shamsubahrin berkata, banyak kesan buruk sekiranya kerajaan meluluskan Go-Jek antaranya soal keselamatan pembonceng, masalah sosial selain kadar kemalangan tinggi membabitkan motosikal di negara ini.

“Tindakan jemaah menteri berbincang dan meluluskan perkhidmatan dari Indonesia itu adalah satu kesilapan besar serta tindakan tidak berprinsip.

“Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook tidak seharusnya melayan cadangan Syed Saddiq yang hanya bersifat mengejar populariti.

“Cadangan itu nanti akan menyebabkan pemandu e-Hailing dan teksi akan ‘mati’ kerana terpaksa bersaing dengan Go-Jek selain banyak isu lain masih belum selesai,” katanya.

Menurutnya, pihaknya akan mengadakan piket besar-besaran sekiranya kerajaan meluluskan cadangan berkenaan.

Semalam, Anthony Loke dipetik sebagai berkata, secara prinsipnya beliau tidak menolak cadangan itu tetapi mengakui bimbang soal keselamatan.

Katanya, meskipun pihaknya tidak berhasrat memperkenalkan perkhidmatan berkenaan sebelum ini, kementerian tidak menolak sebarang cadangan ke arah penambahbaikan sektor pengangkutan.

Ahad lalu, Syed Saddiq dilapor mengadakan kaji selidik di media sosial mengenai cadangan memperkenalkan Go-Jek di Malaysia yang tujuannya membantu golongan muda membina perniagaan kecil.

Malah, Isnin lalu, sudah diadakan pertemuan membabitkan Dr Mahathir, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Anthony dengan pengasas Go-Jek Indonesia, Nadiem Makarim, selaku syarikat mengurus Go-Jek di negara berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Ogos 2019 @ 4:23 PM