Rahim meninjau pemasangan Jalur Gemilang di premis sekitar Kuantan sempena sambutan bulan kemerdekaan di Jalan Mahkota. Foto Zulkepli Osman
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz
azimfitri@hmetro.com.my


MAJLIS Perbandaran Kuantan (MPK) minta pemilik sebuah premis perniagaan yang dikesan mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik, Sabtu lalu supaya mengemukakan surat tunjuk sebab.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Abdul Rahim Muda berkata, MPK menerima maklumat mengenai pemasangan bendera secara terbalik sebelum siasatan dijalankan pihaknya.

“Kita sudah minta mereka beri surat tunjuk sebab dalam tempoh tiga hari.

“Setakat ini, pihak premis itu tidak memberi sebarang maklum balas dan difahamkan tempoh tiga hari yang diberikan akan berakhir esok,” katanya kepada media selepas mengetuai pemantauan pemasangan Jalur Gemilang di premis perniagaan di daerah itu hari ini.

Sebelum ini, tersebar di media sosial mengenai dua bendera Malaysia yang dikibarkan secara terbalik sebelum disedari pemilik premis bertindak menurunkannya.

Bagaimanapun, tindakan itu mendapat kritikan hebat warganet sebelum premis perniagaan berkenaan mengeluarkan kenyataan permohonan maaf yang dibuat menerusi akaun Facebook (FB) mereka keesokannya.

Sementara itu, mengulas mengenai operasi pemantauan yang dijalankan hari ini, Abdul Rahim berkata, operasi pemantauan selama sejam dilakukan bertujuan memastikan setiap premis mengibarkan bendera Malaysia.

“Surat pekeliling dikeluarkan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi pemasangan bendera bermula 16 Ogos sehingga 16 September dan hari ini kita hendak melihat berapa banyak premis yang sudah mengibarkan Jalur Gemilang,” katanya.

Abdul Rahim berkata, tinjauan yang dilakukan hari ini mendapati kira-kira 50 peratus premis saja sudah memasang bendera Malaysia, manakala selebihnya memberikan pelbagai alasan seperti tidak mempunyai masa dan menunggu pemberian bendera percuma.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Ogos 2019 @ 4:18 PM