GAMBAR Arkib NSTP.
Sarah Zulkifli
sarah@hmetro.com.my


MAHKAMAH Koroner di Shah Alam , hari ini menetapkan 27 September depan sebagai tarikh keputusan inkues kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Koroner Rofiah Mohamad menetapkan tarikh itu selepas mendapati tiada apa-apa lagi bagi prosiding inkues itu untuk diteruskan.

“Mahkamah sebelum ini secara rasminya telah menutup inkues dan selepas meneliti semua perkara, (maka) tiada apa-apa lagi untuk diteruskan.

“Sehubungan itu, mahkamah menetapkan tarikh keputusan pada Jumaat, 27 September pada jam 10 pagi,” katanya.

Turut hadir berada di galeri awam, abang Allahyarham Muhammad Adib, Muhammad Asyraf.

Prosiding inkues itu dikendalikan Pegawai Pengendali Faten Hadni Khairuddin, manakala peguam yang mewakili keluarga Muhammad Adib, Syazlin Mansor, Mohd Kamaruzaman Abdul Wahab, Ahmad Taufiq Baharum, Yahaya Othman dan Zamri Ibrahim.

Sementara itu, peguam mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) adalah Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan dan Mazlifah Ayob.

Pada 24 Julai lalu, Rofiah menutup prosiding inkues bagi menentukan punca kematian Muhammad Adib selepas ia berjalan selama 41 hari.

Prosiding inkues berjalan bermula 11 Februari lalu dan seramai 30 saksi termasuk beberapa saksi pakar dipanggil memberi keterangan.

Muhammad Adib yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara (IJN).

  • Lagi berita berkaitan Inkues Adib
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Ogos 2019 @ 4:05 PM