PAUL Khiu (dua dari kanan) dan pegawainya menunjukkan rokok seludup yang dirampas pihaknya. FOTO Ihsan PPM.
Ibrahim Isa
ibrahim@hmetro.com.my


TINDAKAN pemilik rumah kedai membenarkan premisnya dijadikan stor penyimpanan rokok seludup membawa padah apabila diserbu sepasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Johor, semalam.

Premis di Kampung Permatang Duku, Benut, Pontian itu diserbu pada 8.15 malam selepas risikan oleh pasukan itu.

Komander PPM Wilayah Dua, Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang berkata, pasukannya terlebih dahulu melakukan intipan sebelum serbuan dibuat dan lelaki 34 tahun ditahan.

“Lelaki itu dipercayai pemilik premis dan pemeriksaan menemui 32 kotak berwarna coklat dan berlabel dipercayai rokok putih dan kretek tidak sah.

“Pemeriksaan lanjut kemudiannya menemui 1,350 karton rokok putih dan kretek dianggarkan bernilai RM178,890.56 (termasuk cukai), disyaki untuk pasaran tempatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Paul Khiu berkata, siasatan mendapati premis itu antara stor yang aktif di Pontian dan tangkapan serta rampasan dibawa ke Markas PPM Wilayah Dua di Tampoi untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 dan siasatan dijalankan pegawai dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian.

“Pihak kami komited menangani isu pengedaran dan penjualan rokok tidak sah di Johor dan orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi pasukan di talian 07-2372221 atau 07-2372222 untuk bantu siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Ogos 2019 @ 3:46 PM