GAMBAR hiasan.
Mohd Rizal Abdullah
mohd.rizal@hmetro.com.my


WANITA menjadi ‘trend’ terbaharu militan Daish dalam melancarkan serangan di rantau Asia Tenggara.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism (E8), Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pembabitan golongan itu sebagai penyerang bunuh diri semakin meningkat, berdasarkan serangan sebelum ini.

Katanya, serangan gereja di Selatan Filipina pada Januari lalu dan di Surabaya masing-masing dilakukan wanita.

“Trend ini terbaharu di rantau Asia Tenggara yang guna wanita sebagai penyerang bunuh diri.

“Dari segi serangan kurang, tapi impaknya besar kerana mereka mempunyai kepakaran menghasilkan bahan letupan dalam skala besar. Itu perkara yang kita bimbang,” katanya selepas Seminar Tangani Ancaman Fahaman Ektremis di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang, hari ini.

Hadir sama, Ketua Penolong Pengarah Jabatan Bahagian Pendidikan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah, Yusof Ahmad.

Ayob Khan berkata, dalam kejadian baru-baru ini, seorang anggota polis turut cedera apabila diserang militan Daish di Surabaya, Indonesia, yang kononnya datang untuk membuat laporan polis.

“Mereka ini seolah-olah mendapat semangat dan suntikan baru untuk melancarkan serangan susulan seperti beberapa serangan sebelum ini antaranya di Sri Lanka,” katanya.

Selain itu katanya, ada elemen kerjasama militan dapat dilihat berdasarkan tangkapan pihaknya pada Mei lalu di Keningau, Sabah yang membabitkan dua lelaki Daish Indonesia.

Katanya, lelaki itu yang menjadi fasilitator kepada anggota Daish lain yang membuat transit di Keningau sebelum melancarkan serangan ke atas gereja di Selatan Filipina.

“Mereka ini pula bekerja di Keningau... (dan) inilah kita bimbang, trend kerjasama antara elemen-elemen Daish Malaysia, Indonesia dan Selatan Filipina ini,” katanya.

Dalam pada itu, Ayob Khan berkata seramai 40 individu termasuk dua wanita ditahan pihaknya setakat ini yang dipercayai terbabit aktiviti militan sejak Januari lalu.

“Kita fokus kepada pencegahan, ada maklumat awal dan cukup bukti kita akan tangkap, kita tidak akan biarkan mereka lancarkan serangan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Ogos 2019 @ 3:42 PM