Shahrinnahar Latib
am@hmetro.com.my

PENIAGA dari Kuantan kerugian RM40,000 selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar pegawai polis bernama ‘Datuk Wong’, Isnin lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, lelaki berusia 48 tahun itu menerima panggilan daripada suspek yang memperkenalkan diri dari Mahkamah Terengganu.

“Suspek memberitahu nama mangsa disalahgunakan individu lain dan mempunyai tunggakan kad kredit RM10,000 namun mangsa menafikan perkara itu.

“Talian kemudian disambungkan kepada seorang lagi suspek yang menyamar sebagai ‘Inspektor Firdaus’.

“Semakan ‘Inspektor Firdaus’ mendapati mangsa juga terbabit dengan pengubahan wang haram dan dadah,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, mangsa kemudian diminta membuat rayuan kepada pegawai polis bernama ‘Datuk Wong’.

“Datuk Wong meminta mangsa membuat laporan polis secara atas talian dan memindahkan wang di dalam akaun bank bagi tujuan pemantauan Bank Negara.

“Pada 3.20 petang hari sama, mangsa memasukkan wang ke dalam akaun diberikan suspek berjumlah RM40,000,” katanya hari ini.

Katanya, mangsa diminta memasukkan lagi wang RM5,000 namun mangsa enggan sebelum membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, semalam.

Sementara itu, Mohd Wazir berkata, dalam kejadian berasingan, pelajar wanita dari Jerantut berusia 22 tahun kerugian RM4,300 selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar pegawai polis juga dari Mahkamah Kuala Terengganu kelmarin.

Beliau berkata, kejadian bermula apabila mangsa yang tinggal di FELDA Lepar Utara 3 menerima panggilan telefon dari mahkamah mendakwa mangsa mempunyai tunggakan kad kredit RM10,000.

“Mangsa menafikan perkara itu sebelum panggilan disambungkan kononnya ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu dan bercakap dengan seorang lagi suspek.

“Suspek mendakwa mangsa terbabit dengan pengubahan wang haram dan dikaitkan dengan seorang penjenayah. Mangsa diminta menyerahkan butiran akaunnya,” katanya.

Katanya, selepas itu, panggilan mangsa diputuskan dan dia membuat semakan mendapati berlaku pengurangan wang di dalam kedua-dua akaun banknya berjumlah RM4,300.

“Polis sedang mengesan pemilik nombor akaun digunakan suspek dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Ogos 2019 @ 10:41 AM