ANGGOTA PPM bersama PATI yang ditahan. FOTO Ihsan PPM
Abdul Rahemang Taiming
am@hmetro.com.my


PASUKAN Polis Marin (PPM) menggagalkan cubaan lima warga Filipina menyusup masuk secara haram ke negara ini selepas mereka di tahan di kawasan perairan Tinagat dekat Tawau, malam tadi.

Mereka yang menaiki perahu jenis bot pam itu dikesan dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan oleh sepasukan anggota PPM, jam 9.30 malam.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, pemeriksaan awal mendapati bot pam itu dikendalikan seorang juragan warga Filipina berumur 63 tahun bersama empat penumpang lain.

Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati kesemua mereka yang berasal dari Sitangkai, Filipina itu gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah.

“Semua empat penumpang mengaku membayar sejumlah wang sebanyak RM400 seorang kepada juragan terbabit sebagai bayaran untuk memasuki negara ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Pajeri berkata, juragan dan penumpang lelaki masing-masing berumur antara 27 hingga 47 tahun itu kemudiannya ditahan dan dibawa ke pangkalan Markas Operasi PPM Tawau untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, turut dirampas sebuah perahu bersama dua unit enjin pam dianggarkan berjumlah RM30,000.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta AntiPemerdagangan Orang dan AntiPenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 kerana menjalankan kegiatan penyeludupan migran dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih 15 tahun atau denda atau kedua-duanya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Ogos 2019 @ 9:17 AM