TIGA lelaki sempat melarikan diri selepas lori dipandu mereka terbabas ke dalam parit di Taman Paka Putra, Dungun. FOTO Rosli Ilham.
Rosli Ilham
am@hmetro.com.my


TIGA lelaki sanggup mempertaruhkan nyawa dengan memandu lori dalam keadaan bahaya dalam usaha melarikan diri daripada ditahan polis, tengah malam tadi.

Malah, mereka berjaya lolos dengan memasuki hutan berhampiran selepas lori dinaiki itu terbabas dan terhumban ke dalam parit di Taman Paka Putra, dekat Dungun, pada 12 tengah malam tadi.

Menurut sumber, sebelum kejadian itu, dua anggota polis yang menaiki kereta peronda dari Balai Polis Ketengah Jaya melakukan rondaan di kawasan Felda Kerteh 2 dan 3, pada 11.15 malam sebelum terserempak dengan lori berkenaan.

Katanya, curiga dengan kehadiran lori berkenaan, polis mengarahkan pemandunya berhenti, namun suspek tidak memberi kerjasama apabila memecut laju selain turut bertindak agresif apabila cuba melanggar kereta peronda.

“Anggota polis kemudian meminta bantuan dua kereta peronda dari Balai Paka dan Dungun untuk mengejar lori berkenaan.

“Selepas hampir 10 kilometer, lori dipandu suspek memasuki Taman Paka Putra yang juga jalan mati sebelum kenderaan itu terbabas dan terhumban ke dalam parit.

“Bagaimanapun, tiga suspek terbabit sempat melarikan diri ke dalam hutan berhampiran,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Beliau berkata, lori berkenaan dibawa ke Balai Polis Paka untuk siasatan lanjut dan pemeriksaan mendapati lori itu tidak pernah dilaporkan hilang atau dicuri sebelum ini,

Bagaimanapun, katanya, pemeriksaan mendapati cukai jalan lori itu sudah tamat tempoh.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Ogos 2019 @ 10:52 PM