BERNAMA

KERAJAAN Negeri Pulau Pinang memulakan proses pemeriksaan awam bagi mendapatkan pandangan rakyat di negeri itu berhubung projek pembinaan Kereta Api Transit Aliran Ringan (LRT) Bayan Lepas-Komtar.

Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow berkata, ia selaras Seksyen 84 Akta Pengangkutan Darat 2010 yang memerlukan kerajaan negeri sebagai pemilik projek memulakan proses itu bagi mendapatkan maklum balas orang ramai.

“Pemeriksaan awam yang bermula semalam sehingga 19 November adalah keperluan yang mesti dipenuhi sebelum skim kereta api LRT Bayan Lepas-Komtar mendapat kelulusan muktamad daripada Kementerian Pengangkutan,” katanya pada sidang media di Georgetown, hari ini.

Beliau berkata, bagi kemudahan rakyat negeri ini, proses pemeriksaan awam dapat dilakukan di empat lokasi tetap mengikut waktu pejabat iaitu Komtar, Majlis Perbandaran Seberang Perai di Perda, Pejabat Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) di One Precint, Georgetown dan ibu pejabat APAD di Putrajaya.

Selain itu, pusat pemeriksaan awam bergerak juga akan beroperasi di kawasan tumpuan orang ramai seperti pusat membeli-belah serta hab pengangkutan dan setakat ini, dua pusat pemeriksaan bergerak sudah beroperasi, masing-masing di Tesco E-gate dan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang sehingga 21 September.

Chow berkata, pemeriksaan awam bergerak itu akan beroperasi di Sunshine Square dan Terminal Bas Sungai Nibong dari 19 hingga 22 September, sebelum ke Penang Sentral di Butterworth (6 Okt) dan Penang Skills Development Centre (PSDC) di Bayan Lepas (9 Okt).

“Mereka (orang ramai) boleh menyampaikan pandangan, ulasan atau mengemukakan soalan secara bertulis berkenaan projek itu dan kesemua maklum balas yang diterima akan dikumpulkan sebelum dikemukakan kepada kementerian melalui APAD untuk penambahbaikan cadangan projek ini,” katanya.

Orang ramai diseru untuk datang ke lokasi pemeriksaan awam yang terdekat bagi memberikan pendapat dan usaha kerajaan negeri mencapai matlamat untuk menaikkan peratusan penggunaan pengangkutan awam kepada 40 peratus, katanya.

APAD sebelum ini menetapkan 30 syarat perlu dipatuhi kerajaan negeri bagi pembinaan LRT jajaran Komtar ke Bayan Lepas dan sistem pengangkutan LRT yang pertama di Pulau Pinang itu membabitkan jajaran sepanjang 29.9 kilometer dengan 27 stesen.

Jajaran yang bermula di Komtar akan melalui Gelugor, Bayan Baru, Bayan Lepas dan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) sebelum berakhir di tapak cadangan projek tambakan laut di selatan Pulau Pinang (PSR).

Dalam perkembangan lain, Chow berkata pembinaan pintasan Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu (LCE) ke Air Itam dijangka dapat dimulakan 1 September.

“Saya percaya projek itu dapat bermula 1 Sept ini dan ketika ini pemaju di peringkat akhir untuk meneliti reka bentuknya,” katanya.

Projek pintasan Lebuhraya LCE ke Air Itam adalah sebahagian daripada tiga pakej lebuh raya yang dirancang dalam Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PIP).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Ogos 2019 @ 9:49 PM
CHOW melihat pelan LRT Bayan Lepas-Komtar selepas sidang media mengenai pemeriksaan awam, hari ini. FOTO Mikail Ong.