MOHD Sallehhuddin pada sidang media, hari ini. FOTO Mohd Khairul Helmy Mohd Din.
Mohamad Hussin
mohamad_hussin@hmetro.com.my


KEMENTERIAN Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) menjelaskan kekeliruan berhubung kawalan import untuk daging dan kubis bulat dalam laporan Kajian Semula Pasaran Sektor Makanan di bawah Akta Persaingan 2010.

Ketua Setiausahanya Datuk Mohd Sallehhuddin Hassan berkata, laporan berkenaan dikeluarkan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MYCC) pada 6 Ogos lalu hingga mendapat liputan pihak media.

Katanya, bagi isu daging, pihaknya membuka ruang pengimportan dari beberapa negara termasuk Amerika Syarikat, Pakistan, Brazil dan New Zealand serta negara Asia Tengah.

“Kita bukan fokus kepada dua negara sumber bekalan daging iaitu India dan Australia saja, malah terdapat 53 pusat penyembelihan di seluruh dunia yang boleh membekalkan daging ke Malaysia.

“Dalam pengimportan daging, semua syarikat yang layak boleh memohon mengimport daging dari mana-mana negara sumber tertakluk kepada syarat sanitari dan fitosanitari (SPS) serta garis panduan antarabangsa.

“Bagi memastikan sumber daging selamat dan halal dimakan, ia menjadi tanggungjawab Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) yang menjaga 57 pintu masuk negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas memberi maklum balas laporan kajian berkenaan di Kuala Lumpur, hari ini.

MYCC menjalankan kajian semula pasaran selaras Seksyen 11 dan 12 Permit Kelulusan (AP) 2010 yang memberi fokus kepada lima barang makanan terpilih iaitu daging, ikan kembung, susu rumusan bayi, sawi dan kubis bulat.

Tujuan utama kajian adalah untuk meneliti struktur pasaran, keberdayasaingan pasaran dan menentukan sama ada terdapat perlakuan anti-persaingan dalam sektor makanan serta mengurai di sebalik kenaikan harga barangan sejak kebelakangan ini.

Mohd Sallehhuddin berkata, pihak MAQIS akan memastikan setiap daging import yang dibawa masuk mempunyai permit import (IP) yang sah, sijil kesihatan veterinar, sijil halal dan sijil phyto supaya sumber daging bebas penyakit serta selamat untuk dimakan.

“Manakala bagi kubis bulat pula ia antara keluaran pertanian yang dikenakan kawalan import yang mana kelulusan AP berdasarkan Perintah Duti Kastam 2017.

“Piawaian prosedur operasi standard (SOP) dalam penilaian permohonan AP ditambah baik bagi memastikan ketelusan dan mereka yang menyalahgunakan AP seperti menjual kepada pihak ketiga akan diambil tindakan tegas.

“MOA mengambil langkah pemutihan tahun lalu di mana 63 daripada 150 syarikat tidak diperbaharui AP atas pelbagai faktor seperti pematuhan prosedur dan prestasi kurang memuaskan,” katanya.

Katanya, MOA menyarankan supaya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membanteras aktiviti pengambilan untung berlebihan dalam kalangan pemegang AP di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Ogos 2019 @ 9:33 PM