Hasbi Sidek
mohd.hasbi@hmetro.com.my


“BALIKLAH, bapa dengan nenek sangat rindukan kamu. Kalau ada apa-apa masalah, kita boleh bincang,” rayu Chan Wai Keong, 34, selepas anak perempuannya Chan Yi Xuan, 15, tidak pulang ke rumah sejak 3 Ogos lalu.

Difahamkan, Yi Xuan dan seorang lagi rakannya Chan Jiah Huih, 14, keluar dari rumah masing-masing pada pagi 3 Ogos lalu, namun kedua-duanya tidak pulang ke pangkuan keluarga sehingga kini.

Wai Keong berkata, dia tidak mempunyai sebarang masalah dengan anaknya itu, malah remaja itu tidak menunjukkan sebarang tanda tertekan atau murung.

“Dia memaklumkan kepada saya mahu ke sekolah untuk mengambil sijil dan keluar 9 pagi.

“Sehingga petang dia tidak pulang sebelum saya menghubunginya kira-kira 5 petang, namun panggilan dijawab seorang remaja perempuan yang mengaku rakan kepada anak saya selain memaklumkan Yi Xuan berada di rumahnya.

“Sehingga lewat malam dia tidak pulang sebelum kami membuat laporan polis keesokan pagi. Saya buntu kerana tidak tahu ke mana mereka pergi selama 17 hari sedangkan tidak membawa pakaian dan wang yang banyak,” katanya sambil mengalirkan air mata.

Yong Poh Yein, 35, ibu saudara kepada Jiah Huih berkata, perkara sama turut berlaku kepada anak saudaranya itu dan berdasarkan satu video yang dihantar pada satu kumpulan di Wechat, dia mendapati dua remaja itu ke ibu negara.

“Saya mendapat satu video pendek yang menunjukkan mereka berada di dalam tren menuju ke Kuala Lumpur. Dalam video itu terdengar perbualan mereka mahu ke hospital di ibu negara, namun tidak pasti tujuan dan hospital mana.

“Saya merayu kepada anak saudara supaya pulang kerana neneknya sangat bimbang. Telefon bimbitnya juga tidak dapat dihubungi,” katanya ketika ditemui di Pusat Khidmat DUN Seremban Jaya, Seremban, hari ini.


KELUARGA dua gadis yang hilang selama dua minggu pada sidang media di Pusat Khidmat DUN Seremban Jaya, Seremban. FOTO Adzlan Sidek

Sementara itu, Ahli Parlimen Rasah, Cha Kee Chin berkata, dua remaja berkenaan dari sekolah berlainan, namun berkenalan di sebuah pusat tuisyen sejak awal tahun dan mereka dipercayai menghilangkan diri bersama.

“Kedua-dua keluarga datang berjumpa saya dan mengadu mengenai kehilangan dua remaja itu. Kini kami tidak tahu keadaan sebenar mereka sama ada selamat atau sebaliknya.

“Kedua-dua keluarga sudah membuat laporan polis dan saya sendiri juga ada membuat laporan. Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menyalurkannya kepada pihak polis atau boleh menghubungi saya di talian 012-6664557,” katanya.


YI Xuan (gambar kecil atas) dan Jiah Huih (gambar kecil bawah) keluar dari rumah masing-masing pada 3 Ogos lalu, namun kedua-duanya tidak pulang ke pangkuan keluarga sehingga kini. FOTO Adzlan Sidek

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Ogos 2019 @ 9:30 PM