Mohd Rashidi Yusuf

SEBAGAI usaha meluahkan semangat patriotik terhadap negara, guru dan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Clifford (SMKC) menghasilkan Jalur Gemilang gergasi yang dipasang di bangunan sekolah berkenaan.

Bendera berukuran 72 meter panjang dan 6.3 meter tinggi hampir memenuhi bahagian depan Blok A sekolah itu yang terletak di tepi jalan raya utama, sekali gus membolehkan ia mudah dilihat sesiapa sahaja yang berkunjung ke bandar diraja itu.

Upacara menaikkan Jalur Gemilang itu dilakukan di Dataran SMKC, hari ini disaksikan hampir 1,000 pelajar, guru, kakitangan, tetamu kehormat dan orang ramai.

Proses memasang dan menaikkan Jalur Gemilang itu dilakukan secara beramai-ramai membabitkan 780 pelajar, 97 guru dan 17 kakitangan dibantu Presiden Persatuan Lepasan Murid-Murid Sekolah Menengah Kebangsaan Clifford (OCA), Tan Sri Mustafa Mansor, bermula 8.30 pagi.

Penolong Kanan Tingkatan Enam SMKC, Muhamad Ariffudin Mohamad Muhibbuddin berkata, sambutan Bulan Kebangsaan tahun ini menjadi lebih meriah berbanding sebelum ini berikutan kehadiran Jalur Gemilang gergasi itu.

Beliau yang juga Penyelaras Projek Bendera Gergasi, berkata sambutan kali ini dianggap bersejarah dengan harapan saiz besar Jalur Gemilang itu secara tidak langsung mampu memupuk semangat patriotik dalam jiwa pelajar agar sentiasa sayang dan cinta kepada negara.

“Penghasilan bendera gergasi yang diusahakan secara bersama, diharap dapat menyemarakkan semangat dalam diri mereka untuk terus mengekalkan kemerdekaan tanah air tercinta ini,” katanya ketika ditemui selepas upacara itu.

Hadir sama Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Kangsar, Safuan Raba’ai; Penyelaras Parlimen Kuala Kangsar, Dr Termizi Ramli; Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar, Mohd Taufiq Abdul Satar; Pengerusi PIGB, Nordin Ali; dan Pengetua SMKC, Roslan Muhammad.

Sementara itu, Ketua Penyelaras Projek Bendera Gergasi, Muhammad Afiq Farhan Azhari, 18, berkata, bendera itu dihasilkan secara beramai-ramai, khususnya oleh guru-guru dan pelajar-pelajar tingkatan enam.

Katanya, lebih RM2,000 dibelanjakan untuk menghasilkan bendera itu yang disumbangkan oleh guru, kakitangan sekolah dan RM1 daripada setiap pelajar.

“Jalur Gemilang itu akan terus terpasang di premis SMKC bermula hari ini sehingga 17 September nanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Ogos 2019 @ 9:02 PM
PELAJAR SMK Clifford bergambar di hadapan Jalur Gemilang gergasi berukuran 72 meter panjang dan 6.3 meter tinggi yang dipasang di bangunan sekolah tersebut. FOTO Effendy Rashid