MEJA niaga serba guna pada but Myvi ciptaan Mohd Nazer. FOTO Mohd Nazer Khalil
Redzuan Muharam
redzuan.muharam@hmetro.com.my


KEMAHIRAN pertukangan yang ada dimanfaatkan Mohd Nazer Khalil, 39, untuk mengubah suai but kereta Myvi miliknya menjadi meja serba guna sebagai alternatif menggantikan ruang niaga.

Mohd Nazerdari Ipoh, Perak berkata, idea itu tercetus selepas menerima permintaan seorang individu untuk mengubah suai but kereta dengan konsep serupa.

Katanya, berbekalkan pengalaman sebagai tukang kayu dan rujukan di internet, dia mencipta kreativiti berkenaan dan tidak menyangka percubaan sulungnya itu membuahkan hasil.

Menceritakan latar belakangnya, Mohd Nazer berkata, dia pernah bekerja sebagai juruteknik di sebuah syarikat pembuatan komponen elektrik sebelum beralih dalam bidang pertukangan pada hujung 2015.

“Minat dalam bidang reka cipta dan pembuatan ada sejak menuntut di politeknik lagi memandangkan saya mengambil jurusan Kejuruteraan Mekatronik pada waktu itu.

“Kiranya, bidang itu sudah sebati dengan diri saya dan salah satu sebab yang mendorong saya mencipta rekaan ruang niaga pada but kereta itu adalah kerana tidak pernah melihat individu lain menghasilkannya.

“Mengambil kira aspek itu dan permintaan yang ada, saya beranikan diri untuk mencuba bermula dengan projek mengubahsuai meja serba guna untuk kereta model Nissan X-Trail sebelum mencipta alat serupa untuk kenderaan sendiri kira-kira setahun kemudian.

“Salah satu sebab saya menghasilkannya pada waktu itu adalah kerana isteri (Nurul Husna Musa) menyatakan hasrat untuk berniaga nasi lemak secara kecil-kecilan.

“Bagi menjimatkan ruang, saya gunakan kemahiran yang ada untuk mencipta ruang niaga (but kereta) serba guna berkenaan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

MOHD Nazer membantu Nurul Husna menjual nasi lemak. FOTO Mohd Nazer Khalil

Menurut Mohd Nazer, dia mengambil masa selama tiga minggu untuk menyiapkan meja serba guna berkenaan dengan menggunakan kayu sebagai bahan asas.

Katanya, buat masa ini, kebanyakan tempahan diterima adalah daripada pemilik kereta Myvi yang berminat menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan.

“Proses pembuatan produk itu memerlukan ketelitian dan saya perlu memastikan ukuran kayu tepat bersesuaian dengan kapasiti muatan dan saiz but kereta.

“Bahagian paling sukar adalah membuat rangkanya namun saya puas setiap kali melihat hasilnya menjadi seperti yang diharapkan.

“Saya lihat, produk ini berpotensi untuk dikomersialkan berdasarkan maklum balas diterima, malah kebanyakan pelanggan yang singgah membeli nasi lemak tidak menyangka saya mengubahsuainya sendiri,” katanya yang bekerja sepenuh masa sebagai tukang kayu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Ogos 2019 @ 7:28 PM