Nor Akmar Samudin
akmar@nstp.com.my


TIADA mana-mana syarikat yang dibenar memonopoli perkhidmatan teksi motosikal atau dikenali gojek sekiranya ia dibenar beroperasi di negara ini.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata, meskipun pihaknya tidak berhasrat memperkenalkan perkhidmatan berkenaan sebelum ini, kementerian tidak menolak sebarang cadangan ke arah penambahbaikan sektor pengangkutan.

Malah katanya, pada Isnin lalu sudah diadakan pertemuan membabitkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan beliau sendiri dengan pengasas Go-Jek Indonesia Nadiem Makarim selaku syarikat mengurus gojek di negara itu.

“Ada cadangan daripada mereka untuk memulakan operasi dan Nadiem juga berhasrat melabur serta membuka syarikat di Malaysia untuk memperkenalkan perkhidmatan gojek di sini.

“Kita mendengar pembentangan daripada mereka dan ia adalah satu pembentangan yang saya kira menarik tetapi kita perlu mengkaji dan membincangkan dengan lebih lanjut mekanisme pelaksanaannya,” katanya.


ANTHONY Loke bersama pemandu monorel sempena sambutan 16 tahun operasi monorel di Stesen Bukit Nanas, hari ini. FOTO Aziah Azmee.

Beliau ditemui selepas Majlis Pelancaran Tiga Monorel Baik Pulih dan Sambutan Ulang Tahun ke-16 Operasi Monorel di Stesen Monorel Bukit Nanas, Kuala Lumpur hari ini.


Ahad lalu, Syed Saddiq dilapor mengadakan kaji selidik di media sosial mengenai cadangan memperkenalkan gojek di Malaysia yang tujuannya untuk membantu golongan muda membina perniagaan kecil

Mengulas lanjut, Anthony Loke berkata, secara prinsipnya beliau tidak menolak cadangan itu tetapi mengakui bimbang soal keselamatan.

“Tetapi ia sesuatu yang boleh kita lihat bagaimana keselamatan itu dapat dipastikan supaya lebih baik. Apa yang saya lihat ialah ekosistem perkhidmatan awam secara keseluruhan bagi mengukuhkan sistem jaringan pengangkutan awam negara ini.

“Cabaran besar (pengangkutan awam) ialah ada bas transit tetapi ia tidak boleh masuk ke setiap taman perumahan, jadi ia antara penyebab kenapa orang ramai masih sukar menggunakan perkhidmatan awam,” katanya.

Disebabkan itu, katanya, perkhidmatan teksi motosikal dilihat cadangan baik untuk menyelesaikan masalah itu dan Syed Saddiq akan membentangkannya di kabinet dalam masa terdekat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Ogos 2019 @ 6:08 PM