SEBAHAGIAN Orang Asli yang hadir di Mahkamah Tinggi Kota Bharu gembira dengan keputusan dibuat Pesuruhjaya Kehakiman. FOTO Zaman Huri Isa.
Siti Nor Hidayatidayu Razali
sitinor@hmetro.com.my


MAHKAMAH Tinggi di Kota Bharu, hari ini menolak permohonan Kerajaan Kelantan untuk mengenepikan saman yang difailkan Kerajaan Persekutuan mewakili Orang Ali suku Temiar, berhubung tanah adat di Pos Simpor, Gua Musang.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh membuat keputusan itu, sekali gus memberi laluan kepada perbicaraan kes membabitkan tuntutan hak tanah tradisi seluas 29,000 hektar.

Wan Ahmad Farid menerusi penghakimannya berkata, kerajaan negeri tidak mempunyai hak untuk menghalang saman pemula yang difailkan pada Januari lalu kerana boleh menjejaskan masyarakat Orang Asli di kawasan berkenaan.

“Mahkamah berpendapat kes ini boleh dibicarakan di Mahkamah Tinggi Kota Bharu dan tidak perlu dibawa ke Mahkamah Persekutuan.

“Masyarakat Orang Asli juga berhak hidup di kawasan itu kerana sudah mendiaminya sejak turun-temurun,” katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan 25 September depan sebagai tarikh perbicaraan injuksi yang dimohon Kerajaan Persekutuan supaya tidak ada sebarang pencerobohan syarikat balak mahupun , aktiviti menanam durian di Pos Simpor, Gua Musang sehingga perbicaraan selesai.

Kerajaan Persekutuan diwakili tujuh peguam diketuai Datuk Dr Gurdial Singh Nijar, manakala kerajaan negeri diwakili Tun Salleh Abas.

Akhbar sebelum ini melaporkan, Kerajaan Persekutuan memfailkan saman terhadap Kerajaan Kelantan bagi menuntut hak mendapatkan pengiktirafan tanah adat Orang Asli Temiar di Pos Simpor, Gua Musang, Januari lalu.

Peguam Negara, Tommy Thomas berkata, pihaknya sudah memfailkan tindakan sivil di Mahkamah Tinggi Kota Bharu menerusi injuksi bagi menghalang pencerobohan dan pemusnahan tanah adat demi keuntungan komersial pihak swasta.

Katanya, tindakan itu adalah yang pertama berlaku sejak merdeka apabila Kerajaan Persekutuan mengambil tindakan prosiding mahkamah bagi pihak Orang Asli terhadap sebuah kerajaan negeri.

Bulan lalu, Kerajaan Kelantan memohon mengetepikan saman terbabit kerana berpendapat kes berkenaan hanya boleh dibicarakan di Mahkamah Persekutuan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Ogos 2019 @ 4:15 PM