KHOO (tengah) dan Low (dua dari kanan) meluangkan masa melawat wad hemodialisis Hospital Melaka, semalam.
Rizanizam Abdul Hamid
mrizanizam@nstp.com.my


MELAKA: Kes demam denggi di Melaka meningkat kepada 1,438 kes atau sebanyak 263 peratus dari 1 Januari hingga Sabtu lalu berbanding tempoh sama tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Low Chee Leong berkata, daripada jumlah itu, Melaka Tengah merekodkan jumlah terbesar iaitu 1,035 kes dengan peningkatan 290 peratus.

“Daerah Alor Gajah pula mencatatkan 203 kes, meningkat 238 peratus manakala Jasin 200 kes dengan peningkatan 263 peratus.

“Sebanyak sembilan kes baharu didaftarkan pada 17 Ogos lalu,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan di Hospital Melaka bersama Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Hospital Melaka Dr Hatijah Mohd Tan.

Mengulas lanjut Low yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Laksamana berkata, sembilan kes baharu direkodkan adalah di Taman Melaka Perdana, Batu 22 1/2 Ramuan China Besar, Jalan Sidang Hassan dan Flat Malinja.

Menurutnya, lokasi lain adalah Jalan Yong Pak Khian, Taman Krubong Jaya Fasa 2, Taman Kota Laksamana Seksyen 3 dan Taman Taman Kota Laksamana Seksyen 2.

“Selain itu, ada lima lokaliti wabak aktif dikesan di negeri ini dalam tempoh sama membabitkan Taman Bertam Jaya, Taman Krubong Jaya Fasa 2, Lorong Utama Taman Ayer Keroh Heights, Pangsapuri Kota Laksamana dan Taman Hilir.

“Kami sentiasa memandang serius perkara ini dan pelbagai pendekatan serta program sudah laksanakan dalam usaha mengekang pembiakan jentik-jentik dan aedes.

“Pada masa sama kami berharap, penduduk juga TURUT memainkan peranan mereka bagi memastikan kebersihan persekitaran yang sentiasa bebas daripada tempat pembiakan aedes,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Ogos 2019 @ 5:50 AM