HARIMAU yang didapati berkeliaran di Kampung Besul Lama, Bukit Besi, Terengganu, baru baru ini.
Fairul Asmaini Mohd Pilus
am@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Habitat asal diganggu selain masalah pemburuan haram adalah antara dua faktor utama mengapa hidupan liar memasuki kawasan penempatan penduduk di negara ini.

Presiden Pencinta Alam Malaysia, Profesor Dr Ahmad Ismail berkata, masalah pembangunan yang tidak dirancang dengan teliti menyebabkan habitat hidupan liar semakin kecil dan terhimpit.

Katanya, haiwan liar seperti harimau memerlukan keluasan ruang legar tertentu dan jika diganggu tidak mustahil ia akan merayau ke kawasan berhampiran termasuk penempatan penduduk.

“Dalam hal ini, kerajaan negeri perlu menyemak semula keluasan hutan di negeri masing-masing adakah ia mencukupi untuk hidupan liar yang ada kerana gangguan terhadap habitat asal akan menimbulkan konflik pada masa hadapan.

“Selain itu, masalah pemburuan haram tidak kira membabitkan warga asing atau penduduk tempatan juga perlu ditangani kerana kebanyakan mereka membawa masuk anjing menyebabkan haiwan liar yang ada lari keluar dari sempadan hutan selain menjejaskan rantaian makanan di habitat itu.

“Justeru, semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing dan tidak hanya lepas tangan kepada pihak tertentu sahaja untuk menangani masalah kehadiran hidupan liar di kawasan penempatan penduduk,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau mengulas mengenai beberapa kejadian kemunculan haiwan liar di kawasan penempatan penduduk yang menggemparkan negara, baru-baru ini.

Penduduk di Taman Paroi Jaya, Seremban, Negeri Sembilan sebelum ini gempar apabila mendakwa melihat kelibat harimau berhampiran semak di Jalan Cenderawasih 2 taman berkenaan.

Bagaimanapun, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan, Wan Mat Wan Harun berkata, ia bukanlah harimau sebaliknya seekor kucing tulap atau nama saintifiknya Pardofelis temminckii.

Bulan lalu, negara turut dikejutkan dengan kehadiran harimau di Kampung Besul, Dungun, Terengganu.

Kemunculan harimau di tengah kehadiran ramai orang menimbulkan tanda tanya kerana dipercayai itulah kali pertama harimau liar dilihat berjalan bebas, dapat dirakam dan disebar meluas.

Tidak berapa lama selepas itu, penduduk di Kuala Nerus pula gempar dengan kehadiran beruang dipercayai daripada spesies beruang matahari yang berkeliaran di sekitar Felda Belara.

Beruang itu dikatakan mula menceroboh kawasan kebun dan penempatan hingga memaksa penduduk mendapatkan bantuan Perhilitan Terengganu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Ogos 2019 @ 5:40 AM