PERHIMPUNAN aman dianjurkan NUJ Kumpulan Utusan Melayu menuntut bayaran gaji dan juga tuntutan VSS. FOTO Supian Ahmad
Mohamad Hussin
mohamad_hussin@hmetro.com.my


LEBIH 300 kakitangan, termasuk bekas pekerja skim pemisahan sukarela (VSS) mengadakan piket di Ibu Pejabat Utusan Melayu (M) Bhd di Kuala Lumpur bagi mendesak majikan mereka membayar gaji dan pampasan yang tertunggak.

Utusan Melayu yang menerbitkan akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo dikatakan gagal membayar gaji pekerja sejak Julai lalu.

Pengerusi Kesatuan Kebangsaan Wartawan (NUJ) Utusan Melayu, Mohd Taufik Razak berkata, pihaknya kesal dengan tindakan majikan yang tidak mempedulikan nasib kakitangan yang masih setia bekerja walaupun tidak menerima gaji.

Beliau yang juga Presiden NUJ Malaysia berkata, majikan belum membayar gaji Julai dan separuh pada Ogos untuk wartawan, jurugambar dan artis grafik bukan eksekutif.

“Lebih 700 kakitangan Utusan Melayu belum dibayar gaji sejak Julai lalu menyebabkan ada di antara kami yang terpaksa meminjam wang untuk meneruskan kehidupan.

“Turut terkesan adalah kakitangan eksekutif yang hanya menerima bayaran RM2,000 untuk bulan Jun manakala Julai dan Ogos masih belum dibayar gaji.

“Kami mendesak supaya pemegang saham terbesar dalam Utusan Melayu iaitu parti UMNO merombak barisan pengurusan sedia ada kerana gagal menguruskan syarikat dengan baik,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan piket, hari ini.

Sebelum itu, mereka mengadakan piket secara aman mendesak majikan membayar gaji tertunggak selama satu jam bermula 1 tengah hari.

Mohd Taufik berkata, pengurusan UMNO juga tidak mengambil sebarang tindakan bagi membantu nasib pekerja walaupun pelbagai desakan dibuat.

“Alasan yang diberikan adalah aset Utusan Melayu tidak dapat dijual disebabkan beberapa hartanah dipercayai tidak memiliki sijil kelayakan menduduki bangunan (CF),” katanya.

Wakil bekas pekerja VSS, Siti Aniza Kamsari berkata, tindakan majikan yang lewat membayar ansuran bulan pampasan memberi kesan kepada mereka yang tidak bekerja.

“Ada antara kami yang mengharap bayaran VSS ini kerana masih belum mendapat pekerjaan, selain faktor usia.

“Lebih 700 bekas pekerja yang mengambil VSS kesal kerana majikan seolah-olah mempermainkan mereka dengan pelbagai janji manis,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Ogos 2019 @ 3:53 PM