Aidi (dua kanan) ketika sidang media selepas majlis serah terima tugas. FOTO Ghazali Kori
Norizuan Shamsuddin
norizuan@hmetro.com.my


POLIS Terengganu menasihatkan kerajaan negeri atau penganjur yang ingin menjemput pendakwah, Dr Zakir Naik berceramah di negeri ini supaya menangguhkan atau membatalkan rancangan itu kerana dikhuatiri berlaku kejadian tidak diingini.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang permohonan daripada mana-mana pihak termasuk kerajaan negeri untuk menjemput Zakir mengadakan ceramah di negeri ini.

“Kalau ada saya akan nasihatkan penganjur supaya membatalkan hasrat itu buat sementara waktu kerana tidak sesuai untuk dia (Zakir) datang memberi ceramah berikutan terdapat beberapa isu yang timbul.

“Saya pun tidak mahu perkara tidak diingini berlaku di Terengganu kerana dia pun dalam keadaan penuh kontroversi.

“Walaupun dia datang sebagai jemputan dan tidak sampaikan ceramah, ia tidak sesuai kerana mungkin akan menimbulkan isu dan mengganggu ketenteraman awam,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Marang dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang di Dewan Seri Kapas, Kuala Terengganu, hari ini.


AIDI (tengah) menyaksikan majlis serah terima tugas Mohd Suhaimi (kiri) kepada Amran sebagai pemangku. FOTO Ghazali Kori

Pada majlis itu, Aidi menyaksikan upacara penyerahan tugas antara Ketua Polis Daerah (KPD) Marang, Deputi Superintendan Mohd Suhaimi Ali kepada pemangkunya, Deputi Superintendan Amran @ Mohd Zaki Omar yang sebelum ini memegang jawatan sebagai Pegawai Turus Perjawatan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu.

Mohd Suhaimi yang dinaikkan pangkat Superintendan akan bertugas sebagai Timbalan KPD Kota Bharu manakala Pengerusi PERKEP IPD Marang, Che Maini Che Mahmood turut menyerahkan jawatannya kepada pemangkunya, Azmaini Jusof.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Ogos 2019 @ 3:35 PM