DR Zakir Naik. FOTO Arkib NSTP
Murni Wan Omar
murni@hmetro.com.my


PENCERAMAH bebas, Dr Zakir Naik mengemukakan surat tuntutan terhadap Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Dr P Ramasamy, Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago dan dua lagi untuk menarik balik pernyataan fitnah dan mengemukakan permohonan maaf dalam masa 48 jam.

Zakir mengemukakan surut tuntutan kepada Ramasamy, Charles, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bagan Dalam, Satees Muniandy dan bekas duta Malaysia ke Kanada, Datuk Dennis J Ignatius melalui Tetuan Akberdin & Co.

Zakir mendakwa keempat-empat mereka ada mengeluarkan pernyataan fitnah terhadapnya masing-masing melalui portal berita Free Malaysia Today (FMT), Malaysiakini (Mkini) dan laman sosial, Facebook.

Mereka didakwa mengeluarkan pernyataan fitnah itu antara 11 Ogos hingga 13 Ogos lalu.

Berdasarkan surat tuntutan itu, Zakir mendakwa kenyataan fitnah itu jika difahami membawa maksud Zakir adalah seorang yang tidak jujur dan menggunakan Islam bagi kepentingan diri sendiri.

Zakir mendakwa kenyataan fitnah itu adalah tidak berasas, direka, tidak benar, diputar belit, mencemarkan reputasi dan kredibiliti serta memalukannya.

Oleh itu, Zakir mengemukakan tuntutan dengan memberi masa 48 jam untuk keempat-empat mereka menarik balik pernyataan fitnah daripada laman sosial dan portal dan mengemukakan permohonan maaf terhadapnya.

Minggu lalu, Dr Zakir sudah mengemukakan surat tuntutan terhadap Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran untuk menarik balik pernyataan fitnah yang didakwa dibuatnya melalui kenyataan media pada 13 Ogos lalu dalam masa 48 jam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Ogos 2019 @ 3:25 PM