RAFIE menunjukkan telefon bimbit yang dihadiahkan arwah anaknya, Siti Rafini. FOTO Muhaizan Yahya
Mohd Hafizee Mohd Arop
hafizee@nstp.com.my


“TELEFON bimbit digunakan oleh pak cik dan mak cik ini dihadiahkan oleh arwah anak (Siti Rafini Rafie, 27) dan ia akan menjadi kenangan sampai bila-bila hingga akhir hayat,” kata Rafie Hashim, 60.

Rafie adalah bapa kepada Siti Rafini yang maut bersama suaminya Muhammad Sharidan Abdul Aziz, 29, serta anak mereka, Rafiq berusia 14 bulan dalam kebakaran rumah mereka di Kampung Alah Batu, di Slim River, hari ini.

Menurut Rafie, telefon bimbit itu dihadiahkan anaknya itu kira-kira dua tahun lalu dan akan digunakannya selagi ia boleh digunakan.

“Walaupun rosak sekali pun, pak cik tidak akan menjualnya dan akan menyimpannya sebagai kenangan kerana ia dihadiahkan oleh anak yang sudah pergi meninggalkan kami.

“Pemergian mereka sekeluarga amat dirasai tambahan pula cucu saya yang masih kecil dan mereka sangat rapat dengan kedua-dua belah keluarga.

“Namun pak cik reda dengan takdir yang ditentukan Allah,” katanya yang ditemui di Unit Forensik Hospital Slim River di Slim River, hari ini.

Rafie yang tinggal di Felda Besout, Slim River berkata, sikap serta keperibadian mulia anak dan menantunya itu tidak dapat digambarkan kerana mereka berdua sangat menghormati orang tua serta amat menyayangi ahli keluarga.

Katanya, kali terakhir dia bertemu dengan anak, menantu serta cucunya itu pada lewat petang semalam selepas mereka datang mengambil pakaian adik mereka untuk dihantar ke sekolah asrama.

“Selepas majlis pertunangan sepupu kepada menantu saya, mereka datang mengambil pakaian adik mereka untuk dihantar ke asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Slim River.

“Pada awal pagi pun mereka ada datang untuk mengambil makanan kerana pak cik dan mak cik yang masak majlis pertunangan itu,” katanya.

Menurut Rafie, arwah menantu dan anaknya itu menjalankan beberapa perniagaan seperti peraih getah, mengusahakan ladang sawit dan menjual ‘ayam gunting’ di kampung berkenaan.

Berita berkaitan

Pasangan sejoli ke akhir hayat

Jeritan Idah minta tolong

Tiga beranak rentung

[UPDATE] Identiti tiga beranak dikenal past

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Ogos 2019 @ 2:50 PM