Hutan yang terbakar di Jalan Helang, Taman Scientex akibat cuaca panas dan kering semalam. FOTO Ihsan Pembaca
Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my


CUACA panas, kering dan berangin menjadi punca tiga kebakaran membabitkan kawasan hutan yang diterima Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor berhampiran Taman Scientex di Pasir Gudang semalam.

Pegawai Bomba Kanan II dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang, Mohd Yousri Atan berkata, sebuah jentera bersama lapan anggota bomba dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kebakaran bermula 12.44 tengah hari.

“Operasi pemadaman kebakaran membabitkan kawasan seluas lapan hektar dengan kebakaran pertama di kawasan seluas 1.2 hektar pada 12.44 tengah hari.

“Satu lagi panggilan kebakaran kedua di lokasi sama diterima pada 4.06 petang membabitkan kawasan seluas 1.6 hektar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, empat jam kemudian satu lagi panggilan kebakaran diterima di kawasan sama membabitkan kawasan seluas 0.4 hektar pada 8 malam.

Beliau berkata, kebakaran pertama berjaya dipadamkan kira-kira sejam namun atas faktor cuaca panas, kering dan berangin menyebabkan ia marak kembali.

“Lapan anggota bersama sebuah jentera dikejarkan ke lokasi bagi setiap operasi pemadaman terbabit.

“Operasi pemadaman api ditamatkan sepenuhnya pada 10.01 malam tadi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Ogos 2019 @ 12:52 PM