KOR SISPA UMT bergambar beramai-ramai selepas muncul johan kali kelima Pertandingan Ujian Kemahiran Kor SISPA selepas Majlis Pentauliahan Kor SISPA Kebangsaan Kali Ke 10 di UPM. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli.
Ahmad Rabiul Zulkifli
cnews@nstp.com.my


KOR Siswa Siswi Pertahanan Awam (SISPA) Universiti Malaysia Terengganu (UMT) muncul juara buat kali kelima dalam Pertandingan Ujian Kemahiran Kor SISPA, Majlis Pentauliahan Kor SISPA Kebangsaan Kali Ke-10 Tahun 2019.

Pertandingan dianjurkan di Universiti Putra Malaysia (UPM) di Serdang, Selangor pada 14 hingga 18 Ogos itu menyaksikan SISPA UMT menewaskan 12 SISPA Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dari seluruh negara.

UMT menjadi johan untuk tiga acara iaitu Kemahiran Kawad Kaki, Pengungsian Bangunan dan Sispa Challenge yang menggabungkan semua kemahiran berkonsepkan ‘explorace’ selain naib johan dalam ujian kemahiran ‘Road Accident Management’.

Ketua Kontinjen Kor SISPA UMT, Penolong Pesuruhjaya (PA) Bersekutu Profesor Datuk Dr Saharuddin Abdul Hamid berkata, seramai 34 penuntut mewakili Kor SISPA UMT dan diketuai Pegawai Kadet Kanan Zulfazli Zul.

“Kami bangga dengan semua peserta Kor SISPA UMT kerana menunjukkan prestasi sangat cemerlang dan membanggakan dalam semua pertandingan ujian kemahiran itu.

“Itu adalah kejayaan paling gemilang dan terbaik daripada empat kejayaan lalui kerana kali ini UMT dinobatkan johan dalam tiga acara daripada empat acara dipertandingkan.

“Kor Sispa UMT sebelum ini menjadi Juara Keseluruhan pada pertandingan sama pada 2011 di USIM, 2014 di UKM, 2015 di USM dan 2016 di UPSI,” katanya.

Beliau berkata, semua peserta membuat persiapan dan menjalani latihan sejak dua minggu lalu di bawah bimbingan jurulatih di Ibu Pejabat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu.

“Kami harap kejayaan itu dapat dikekalkan lagi pada tahun hadapan, jadi persiapan dan usaha perlu ditingkatkan pada tahun hadapan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah APM Negeri Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, kejayaan kali kelima itu membuktikan keserasian kerjasama antara SISPA UMT dan APM.

“Kami turut gembira dengan kejayaan itu dan berharap ia dapat dikekalkan pada tahun hadapan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Ogos 2019 @ 12:38 AM