GAMBAR daripada rakaman CCTV menunjukkan suspek (kiri) menampar mangsa beberapa kali.
Khairul Najib Asarulah Khan
khairul.najib@nstp.com.my


SEORANG pegawai atasan dipercayai daripada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) didakwa menampar warga asing di sebuah pub di Subang Jaya, pada Jumaat lalu.

Dalam rakaman kamera litar tertutup (CCTV) pub yang berdurasi 2 minit 55 saat itu, kelihatan pegawai lelaki berkenaan menampar warga asing terbabit beberapa kali.

Bagaimanapun, Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintendan Amihizam Abdul Shukor berkata, sehingga kini pihaknya belum menerima laporan berhubung kejadian itu.

“Kita minta mangsa tampil membuat laporan untuk polis menjalankan siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Ketua Pengarah JIM, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, tindakan tegas mengikut undang-undang akan diambil jika terbukti anggota atau pegawainya bersalah.

“Kita tidak akan berkompromi dalam isu integriti terutama salah guna kuasa dan kes jenayah,” katanya.

Sebelum ini, video itu tular di aplikasi WhatsApp yang mengundang persoalan netizen mengenai tindakan lelaki terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Ogos 2019 @ 12:05 AM