APMM berjaya membebaskan sebuah bot nelayan tempatan bersama empat kru yang ditahan kapal Pengawas Perikanan Indonesia di kedudukan 26.4 batu nautika tenggara Pulau Jarak dekat Lumut. FOTO ihsan APMM.
Noor Hidayah Tanzizi
cnews@nstp.com.my


AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya membebaskan sebuah bot nelayan tempatan bersama empat kru yang ditahan kapal Pengawas Perikanan Indonesia di kedudukan 48 kilometer (26.4 batu nautika) tenggara Pulau Jarak, Lumut, hari ini.

Dalam kejadian 7 pagi itu, aduan diterima daripada Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) membabitkan lokasi bot nelayan berkenaan ditahan kira-kira satu kilometer dari sempadan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia- Indonesia.

Pemangku Pengarah Maritim Perak, Komander Maritim Shahrizan Raman berkata, bertindak daripada aduan itu, APMM menggerakkan bot peronda diketuai Leftenan Madya Maritim Mohd Shahrizan Mohd Hashim ke lokasi untuk pengesahan dan mengadakan rundingan.

Menurutnya, bot nelayan tempatan bersama empat kru masing-masing dua warga Thailand dan dua warga Kemboja ditahan atas kesalahan tidak mengibarkan bendera Malaysia dan kru tidak mempunyai permit kerja di atas bot.

Katanya, ketika ini pihaknya dan Indonesia sedang terbabit operasi bersama iaitu PATKOR OPTIMA Malaysia- Indonesia yang turut memberi kesan positif kepada rundingan dijalankan.

“Hasil daripada rundingan itu, bot nelayan tempatan berkenaan sudah diserahkan dan dibawa pulang ke jeti.

“Ini membuktikan kerjasama dua negara yang terbabit dengan operasi bersama membuahkan hasil,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Shahrizan berkata, operasi bersama berkenaan bermula sejak Rabu lalu dan bakal berakhir pada 29 Ogos ini.

Beliau berkata, operasi itu dirasmikan di Batam, Indonesia manakala Markas Operasi Bersepadu (MOB) ditempatkan di Selangor bagi mengumpul maklumat sepanjang operasi berlangsung.

Menurutnya, operasi seperti itu diharap akan dapat mengeratkan hubungan baik antara dua negara dan bersama membanteras kegiatan jenayah yang berlaku di laut khususnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Ogos 2019 @ 10:09 PM