BERNAMA

PENDAKWAH Islam Dr Zakir Naik bebas mengajar dan bercakap mengenai Islam, tetapi tidak mengenai politik perkauman yang boleh mengganggu dan merosakkan kebajikan serta ketenteraman rakyat Malaysia.

“Kita tidak mahu menyekatnya daripada bercakap mengenai agama dan perkara yang benar, tetapi agak jelas beliau ingin berperanan dalam politik perkauman di Malaysia.

“Pertama sekali, saya tak tahu siapa yang memberikan beliau status Penduduk Tetap (PR), tetapi sebagai penduduk tetap, beliau tidak boleh menyertai politik.

“Beliau boleh berdakwah tetapi beliau tidak berbuat begitu. Beliau bercakap mengenai soal menghantar orang Cina pulang ke China, orang India pulang ke India, itu bagi saya adalah satu langkah politik,” kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir berkata demikian kepada pemberita pada Kongres Perangkaan Dunia ke-62 anjuran International Statistical Institute (ISI) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.

Menurutnya, sudah menjadi budaya rakyat negara ini yang begitu berhati-hati apabila bercakap mengenai perkara yang sensitif terhadap komuniti lain.

Beliau juga mahu polis menyiasat sama ada tindakan Zakir menyebabkan ketegangan atau wujud elemen lain.

“Apa juga tindakan kita ambil akan mengikut undang-undang. Kerajaan menghormati kedaulatan undang-undang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Ogos 2019 @ 9:38 PM
DR Mahathir menyerahkan kepada polis untuk menyiasat ke Zakir Naik. FOTO Nurul Shafina Jemenon.