SANGKAR ikan yang terjejas selain ikan mati akibat ribut tempias daripada Taufan Lekima. FOTO Ramdzan Masiam.
Nur Izzati Mohamad
am@hmetro.com.my


SEKTOR agro makanan negara kerugian RM60.2 juta susulan tempias Taufan Lekima di beberapa negeri, baru-baru ini.

Kerugian membabitkan tanaman padi, ternakan ayam dan ikan sangkar.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin berkata, daripada jumlah itu pengusaha ternakan ikan sangkar di Pulau Pinang paling teruk terjejas dengan kerugian cecah RM29 juta.

“Terdapat 152 penternak ikan sangkar di Sungai Udang, Teluk Bahang dan Pantai Jerejak terkesan apabila lebih 800 metrik ikan mati dalam kejadian ribut, baru-baru ini.

“Ia kejadian yang tidak diduga, malah peristiwa sama pernah berlaku pada 2017. Kementerian memandang serius ancaman terhadap sektor ini dan mengambil inisiatif membantu penternak terbabit,” katanya.

Beliau ditemui ketika mengadakan tinjauan di penternakan ikan sangkar di Sungai Udang, Nibong Tebal, hari ini.

Mengulas lanjut, Sim berkata, kementerian sedang mengumpul maklumat terperinci untuk membantu penternak dan pengusaha termasuk mengadakan pertemuan dengan institusi kewangan seperti Agrobank berhubung pinjaman.

Beliau turut mencadangkan supaya penternak ikan sangkar mengubah cara ternakan tradisional kepada lebih moden dengan pembinaan sangkar ikan berteknologi tinggi dikenali ‘HDPE’.

“Buat peringkat awal, kementerian akan menyumbangkan dua sangkar ikan HDPE yang kosnya RM50,000 sebuah kepada penternak di Pulau Pinang sebagai projek perintis.

“Sebelum ini, sudah terdapat pengusaha yang menggunakan sangkar ini seperti di Tasik Temenggor, Gerik dan Kukup,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Ogos 2019 @ 4:18 PM