Norsyazwani Nasri
am@hmetro.com.my


LELAKI cedera di perut selepas ditetak dengan parang oleh rakannya di sebuah rumah pekerja di Jalan Teku, Sibu, semalam.

Dalam kejadian 6 petang itu, mangsa, 28, dan rakannya berusia 46 tahun minum arak bersama sebelum bertengkar.

Sumber berkata, suspek yang marah selepas dicabar bertindak mengambil parang miliknya lalu menetak mangsa di bahagian perut.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada orang awam.

“Sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi dan sebaik tiba, mangsa didapati terbaring dalam keadaan berdarah serta luka di perut sebelah kanan.

“Pihak ambulans yang dihubungi membawa mangsa ke Hospital Sibu untuk mendapatkan rawatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Stanley berkata, suspek sudah tampil dan mengaku menetak mangsa menggunakan parang.

“Suspek kemudiannya ditahan untuk tindakan lanjut dan parang digunakan dirampas untuk dijadikan bahan kes.

“Mangsa berada dalam keadaan stabil dan tiada kecederaan serius namun akan dimasukkan ke dewan bedah untuk menjahit luka yang dialami,” katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa dan suspek adalah rakan sekerja serta duduk di kediaman milik syarikat.

“Seramai dua orang saksi sudah tampil memberikan keterangan manakala, suspek yang masih dalam pengaruh alkohol direman hari ini di Mahkamah Majistret Sibu.

“Dia turut dirujuk kepada pihak narkotik untuk saringan air kencing dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Ogos 2019 @ 4:02 PM