APLIKASI ‘Penang Smart Parking’ yang akan mula beroperasi esok. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal
BERNAMA

KERAJAAN Negeri Pulau Pinang akan memberikan kredit percuma sebanyak RM5 kepada 10,000 pengguna terawal aplikasi ‘Penang Smart Parking’ (PSP) yang akan mula beroperasi esok.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, kredit itu diberikan sebagai galakan kepada orang ramai bagi penggunaan teknologi e-wallet seperti Boost, Touch ‘n’ Go dan Grab Pay.

“Saya menjangkakan rakyat akan mengambil masa selama lebih kurang satu atau dua tahun untuk menyesuaikan diri dengan teknologi baharu ini.

“Satu daripada perkara yang sukar untuk menguruskannya adalah mengubah tingkah laku dan minda masyarakat untuk memahami (teknologi) ini selain daripada isu teknikal,” katanya pada sidang media selepas merasmikan PSP Fasa Satu, di Georegtown, hari ini.

Beliau berkata, mulai esok, PSP akan beroperasi di 647 tempat letak kereta di Georgetown dan 350 di kawasan Seberang Perai.

Antara kawasan tempat letak kereta yang terlibat di George Town ialah Lebuh Union, Lebuh Pantai, Lebuh Pasar, Lebuh Penang, Lebuh Queen, Lebuh King, Lebuh Downing, Lebuh Bishop, Lebuh Gereja, Gat Lebuh Gereja, Lebuh China dan Gat Lebuh China manakala di Seberang Perai di Lebuh Langsat dan Jalan Icon City.

Chow berkata, bagi menjayakan pelaksanaan PSP, beberapa jalan di bahagian pulau dan Seberang Perai akan ditutup sementara bagi pemasangan sensor untuk fasa perintis dan keseluruhan 36,000 tempat letak kereta yang dijangka siap sepenuhnya pada Ogos 2020.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga telah bersetuju kadar bayaran tempat letak kereta kekal pada kadar 80 sen sejam bagi kawasan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan 40 sen sejam bagi kawasan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

Tambahnya, bagi pas bulanan pula kadar bayaran kekal pada kadar RM150 sebulan di kawasan MBPP dan RM75 sebulan di kawasan MPSP.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Ogos 2019 @ 3:45 PM