JEMAAH KT01 sibuk menimbang beg masing-masing untuk pulang ke tanah air, hari ini.
Yusri Abdul Malek
Yusrimalek@hmetro.com.my


JEMAAH haji pertama Malaysia pulang ke tanah air melalui penerbangan KT01 dari Lapangan Terbang King Abdul Aziz, Jeddah, jam 1.10 pagi, waktu tempatan (6.10 pagi waktu Malaysia).

Semua 450 jemaah berkenaan yang kebanyakan dari Johor, Kedah dan Terengganu akan transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum menaiki pesawat sambungan ke negeri masing-masing.

Penerbangan pulang terakhir jemaah adalah pada 12 September melalui Madinah.

Sepanjang musim haji kali ini, tiada kejadian tidak diingini berlaku kecuali hujan lebat di Mina namun ia tidak membabitkan kematian atau kecederaan.

Bagi penulis yang pertama kali mengerjakan haji, ini adalah pengalaman paling berharga kerana dalam menjalankan tugas hakiki, penulis bersama 12 rakan media yang lain turut bersama-sama mengerjakan haji dan umrah.

Walaupun terpaksa mengharungi masa kerja panjang tanpa cuti rehat, tetapi ia bukan masalah besar kerana tugasan yang diberi sudah diatur dari awal.

Dari kaca mata petugas haji pula, penulis dapat merasakan bagaimana perit getir petugas dalam menyantuni tetamu Allah. Hal yang sekecil-kecilnya seperti di mana tandas di Masjidilharam turut ditanyakan hingga kepada hukum hakam mengerjakan haji dan umrah.

Gelaran ustaz atau ustazah itu biasa. Jika memakai jaket atau baju tertera Tabung Haji (TH), sudah pasti mereka akan dicari dan dijadikan sasaran pertanyaan. Malah, untuk memasang kad SIM pun menjadi tugas petugas.

Biarlah, sebagai Tetamu Allah, mereka perlu diberi layanan sebagai mungkin kerana pada mata jemaah, petugas haji adalah orang yang boleh membantu mereka ketika di Tanah Suci.

Penulis dan rakan akan menaiki pesawat pulang kemungkinan hari ini bagi kembali kepada keluarga dan memulakan semula tugas harian di tanah air.

Akhir kata sekalung budi dan jutaan terima kasih buat TH yang memberi kemudahan sepanjang penulis berada di Tanah Suci. Bersama-sama ini dicoretkan sajak bertajuk WIDA.

Tiba juga sudahnya

Waktu yang tidak ditunggu

Tujuh kitaran perpisahan

Dua rakaat sunat

Seperangkat munajat yang tersendat-sendat

Diganggu kelu, diharu pilu.

Mampuku hanya mengadu lewat sedu

Biarlah air mata menjadi jurubicara

Mengganti ucap yang tak terungkap

Mewakili kata yang tak terkata

Menyuara rasa yang tak tersuara

Aku percaya dengan bahasa air mata

Yang sepetah pujangga, sefasih pendeta

Aku pasrah dalam resah muhasabah

Ya Rabbana taqabbal minna manasikana

Tuhan Yang Maha Sempurna

Maha Penyempurna

Berkenan kiranya

Menerima amal hamba yang tak pernah sempurna.

Semua harus tahu

Begitu yang namanya tamu

Datang dialu pulang direstu.

Aku rela dalam hiba

Tetapi masih ada pinta yang tersisa

Wahai Yang Maha Pengasih

Aku ingin kembali bersih

Sesuci bayi, seputih salji

Aku pulang dulu kiblatku

Bisikku dalam lambai sayu

Amin ya Muiba s-sa'ilinWa ya Arhama 'r-rahimin.

Nukilan Prof Datuk Dr Siddiq Fadzil

Lagi berita berkaitan Wasilah Haramain

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Ogos 2019 @ 2:20 PM