KEADAAN motosikal yang bertembung mengakibatkan dua penunggang maut manakala seorang pembonceng parah. FOTO ihsan Polis
Fardy Bungga
fardy@hmetro.com.my


DUA penunggang motosikal maut manakala seorang pembonceng parah selepas motosikal mereka bertembung di kilometer 9, Jalan Lahad Datu-Tawau, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 8 malam itu, kedua-dua penunggang motosikal berusia 32 dan 25 tahun meninggal dunia di tempat kejadian manakala pembonceng wanita, 20, yang parah masih dirawat di Hospital Lahad Datu.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, hasil siasatan awal polis mendapati motosikal pertama yang ditunggang mangsa berusia 32 tahun bersama pembonceng wanita terbabit dalam perjalanan dari arah Lahad Datu menuju ke Jalan Silam.

Bagaimanapun katanya, setibanya di lokasi kejadian, mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terjatuh dan terseret memasuki lorong bertentangan.

“Pada masa sama, sebuah motosikal yang ditunggang mangsa berusia 25 tahun dipercayai tidak sempat mengelak dan terus bertembung dengan motosikal pertama.

“Akibat kemalangan itu, kedua-dua penungggang motosikal meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan serius di kepala dan badan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Nasri berkata, siasatan polis juga mendapati kemalangan berpunca daripada penunggang motosikal berusia 32 tahun yang dipercayai menunggang laju ketika di jalan lurus sehingga menyebabkan kemalangan.

Katanya, kedua-dua identiti mangsa masih belum dapat dikenal pasti dan mereka juga tidak mempunyai lesen memandu.

“Kedua-dua penunggang tidak disyaki mabuk; walau bagaimanapun, polis sudah mengambil darah mereka untuk ujian Ttoksikologi.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian dengan memandu secara melulu dan membahayakan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Ogos 2019 @ 1:15 PM