CHAN (kiri) bersama Tan (tengah) membantu peniaga buah-buahan mengibar Jalur Gemilang ketika tinjauan mesra di Tamu Jalan Gaya, Kota Kinabalu. FOTO Edmund Samunting
Mohd Izham Unnip Abdullah
thaddius@bh.com.my


LIMA projek kecil bernilai kira-kira RM1.3 juta diluluskan Pejabat Pembangunan Negeri Sabah (SDO) bagi menambah baik kemudahan awam di bandar raya Kota Kinabalu, tahun ini.

Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin berkata, projek itu ialah pembinaan penghadang di Jalan Coastal, laluan pejalan kaki berbumbung Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Fuad dan menaik taraf jalan di bulatan air pancut Jalan Gaya.

Beliau berkata, selebihnya ialah projek membaik pulih lantai konkrit Pasar Ikan Kota Kinabalu dan membaik pulih struktur atap Gereja Katolik Kampung Kopungit, Luyang, Kota Kinabalu.

“Sebut harga projek terbabit masing-masing dikeluarkan pada Mei dan Jun lalu. Ia adalah senarai projek kecil yang sudah diluluskan pihak SDO dan sekarang hanya menunggu pelaksanaannya oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan tinjauan mesra dan mengagihkan Jalur Gemilang serta risalah berkaitan program kerajaan kepada peniaga di Tamu Jalan Gaya, di Kota Kinabalu, hari ini.

Program anjuran Jabatan Penerangan itu turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Likas, Tan Lee Fatt; ADUN Dilantik, Loh Ee Eng; Pengarah Jabatan Penerangan Sabah, Norzawiyah Bulka dan Pengarah Jabatan Pengaduan dan Perhubungan Awam DBKK, Lizawana Matin.

Foong Hin berkata, semua projek kecil terbabit dilaksanakan sebelum akhir tahun ini bagi menambah keselesaan warga bandar raya, pengunjung dan pelancong yang datang ke ibu negeri.

Terdahulu, Foong Hin berkata, kesempatan melakukan tinjauan mesra bersama Jabatan Penerangan dan DBKK dimanfaatkan untuk mengedarkan maklumat berkaitan program dan inisiatif kerajaan baharu kepada rakyat selain menggalakkan orang ramai supaya sama-sama memeriahkan sambutan Bulan Kebangsaan.

Sementara itu, Norzawiyah berkata, program berkenaan adalah antara pendekatan Jabatan Penerangan untuk memeriahkan sambutan Bulan Kebangsaan dan meminta orang ramai mengibar Jalur Gemilang.

“Kita berharap orang ramai dapat sama-sama mengibar Jalur Gemilang di rumah, gerai dan pejabat masing-masing bagi memeriahkan sambutan Bulan Kebangsaan,” katanya.

Selain mengedar Jalur Gemilang, program berkenaan turut diserikan dengan persembahan busker dan taklimat berkaitan program kerajaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Ogos 2019 @ 12:54 PM