NORA Anne Quoirin.
Muhammad Apendy Issahak
apendy@nstp.com.my


KELUARGA Nora Anne Quoirin, 15, mempunyai hak meminta untuk melakukan proses bedah siasat kali kedua terhadap mayat remaja terbabit di luar negara.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, pihaknya tiada masalah jika proses itu dijalankan dan ia sama sekali tidak menjejaskan reputasi pakar patologi negara yang menjalankan bedah siasat sebelum ini.

Menurutnya, apa yang pasti, mayat remaja terbabit sudah dituntut keluarga dari Jabatan Forensik (JPF) Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJ), Negeri Sembilan.

“Itu terpulang kepada mereka (keluarga) dan ia adalah hak mereka untuk buat bedah siasat kali kedua di luar negara.

“Apa yang saya tahu keluarga sudah tuntut mayatnya (Nora Anne) dan terpulang kepada mereka untuk buat siasatan selanjutnya," katanya ketika ditemui selepas membuat lawatan di Kuil Sri Maha Mariamman, di Ipoh, hari ini.

Menurutnya, pihaknya memang yakin dengan profesionalisme pakar patologi yang melakukan bedah siasat kali pertama terhadap mayat remaja warga Ireland terbabit.

“Ini (bedah siasat kedua) tidak akan menggoyahkan keyakinan kita pada pakar patologi negara kita yang menjalankan bedah siasat itu," katanya.

Semalam media melaporkan polis mengesahkan tidak menerima sebarang permintaan mahupun dimaklumkan mengenai bedah siasat kedua terhadap mayat Nora Anne Quoirin daripada mana-mana pihak.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, sehingga kini Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak dimaklumkan untuk proses berkenaan selepas bedah siasat pertama selesai, 14 Ogos lalu.

Terdahulu, Daily Mirror melaporkan ibu bapa Nora Anne dipercayai meminta diadakan proses bedah siasat kedua terhadap anak sulung mereka.

Difahamkan, ketika ini Maebh Jaseprine Quoirin, 46, dan suaminya Sebastian Marie Philipe, 47, sedang berbincang dengan pihak berkaitan bagi memastikan pakar patologi tidak terlepas sebarang bukti yang boleh dikaitkan dengan punca kematian remaja itu.

Mereka dilapor meminta bedah siasat itu dilakukan di Britain atau Perancis yang mana siasatan polis mengenai kes itu sedang dijalankan.

Nora Anne yang ditemui selepas 10 hari hilang sejak 4 Ogos lalu di Pantai, Seremban disahkan meninggal dunia berpunca daripada kebocoran usus akibat kebuluran dan tekanan berpanjangan yang menyebabkan pendarahan dalaman.

Mohamad dilaporkan berkata, tiada luka ditemui pada badan Nora Anne dan hanya terdapat calar kecil pada kaki yang tidak menjurus kepada punca kematian selain tiada kesan dirogol atau perbuatan jenayah lain seperti dilarikan atau diculik.

Sebelum itu, Pejabat Pendakwa Raya Perancis dilaporkan membuka siasatan jenayah terhadap kematian remaja Ireland itu.

Ibu Nora berasal dari Belfast, Ireland manakala bapanya adalah warga Perancis.

  • Lagi berita berkaitan Nora Anne Quoirin
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Ogos 2019 @ 12:30 PM