TENGKU Hassanal (tengah) bersama peserta pada program ‘plogging’ di Pantai Sepat. FOTO Farizul Hafiz Awang
Shahrinnahar Latib
am@hmetro.com.my

LEBIH satu tan sampah dikumpulkan menerusi program ‘plogging’ yang turut disertai Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah di Pantai Sepat, Kuantan, semalam.

Acara ‘plogging’ iaitu berjoging sambil memungut sampah itu disertai lebih 1,000 peserta daripada agensi kerajaan dan pelajar sekolah di sekitar daerah ini.

Tengku Hassanal Ibrahim bertitah, baginda berharap lebih banyak aktiviti ‘plogging’ dapat dilaksanakan pada masa akan datang bagi mendidik orang ramai untuk sama-sama bertanggungjawab menjaga kebersihan di tempat awam.

“Amalan menjaga kebersihan ini perlu bermula dari rumah supaya ianya menjadi kebiasaan malah dalam Islam sendiri amat menitikberatkan aspek kebersihan,” titah baginda pada program berkenaan.

Baginda bertitah, ibu bapa seharusnya memainkan peranan untuk mendidik anak mereka mengenai kepentingan menjaga kebersihan dari usia muda.


TENGKU Hassanal (kanan) bersama peserta pada program ‘plogging’ di Pantai Sepat. FOTO Farizul Hafiz Awang

“Kesedaran menjaga kebersihan khususnya di kawasan awam masih berada di tahap rendah walaupun pelbagai program dan aktiviti kebersihan dijalankan oleh banyak pihak, sama ada oleh agensi kerajaan mahupun badan bukan kerajaan (NGO).

“Saya berharap aktiviti ‘plogging’ melalui usaha NGO Youth For Change seperti hari ini, dapat mendidik orang ramai untuk sama-sama bertanggungjawab menjaga kebersihan di tempat awam,” titah baginda.

Sementara itu, Pegawai Daerah Kuantan, Tengku Datuk Nor Asmaliza Ku Lah berkata, program itu akan diteruskan di beberapa kawasan lain termasuk di Teluk Chempedak, Balok, Indera Mahkota.

“Pada program ini, pelbagai sampah sarap kita berjaya kutip dan kebanyakannya styroform,” katanya.


PELBAGAI agensi kerajaan dan NGO turut sama menyertai program ‘plogging’ di Pantai Sepat. FOTO Farizul Hafiz Awang

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Ogos 2019 @ 11:28 AM