PESERTA berhimpun secara aman membantah operasi Lynas di Taman Gelora Lama. FOTO Farizul Hafiz Awang
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz
azimfitri@hmetro.com.my


POLIS mengesahkan himpunan ‘818 tolak sisa radioaktif Lynas’ yang dianjurkan di Taman Gelora, Kuantan, hari ini, melanggar Akta Perhimpunan Aman 2012 (APA 2012).

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, pihaknya mendapati perhimpunan yang diadakan itu tidak mendapat kebenaran pemilik premis iaitu Majlis Perbandaran Kuantan (MPK).

“Pada 7 Ogos lalu mereka ada mohon untuk dapatkan permit perhimpunan yang akan diadakan pada hari ini. Ia menepati APA 2012 iaitu permit dipohon mestilah 10 hari sebelum perhimpunan.

“Bagaimanapun mereka gagal memenuhi syarat untuk dapat kebenaran pemilik premis. Saya difahamkan MPK menolak permohonan penganjur dan tidak beri kelulusan atas sebab tertentu,” katanya kepada pemberita di Kuantan, hari ini.

Mohamad Noor berkata, ekoran itu laporan polis akan dibuat pihaknya bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut APA 2012.

Katanya, beberapa individu di kalangan penganjur sudah dikenal pasti dan akan dipanggil untuk membantu siasatan.

“Saya tidak faham mengapa mereka teruskan juga perhimpunan ini sedangkan kita sudah beri penerangan yang cukup jelas sebelum ini. Malah ketika perjumpaan itu wakil mereka juga ada di kalangan peguam,” katanya.

Mohamad Noor berkata, perhimpunan yang berakhir pada 10 pagi itu bagaimanapun berlangsung tanpa sebarang insiden tidak diingini dan terkawal.

Sementara itu, wakil penganjur perhimpunan yang juga Pengerusi Save Malaysia Save Lynas, Tan Bun Teet berkata, perhimpunan bermula 8 pagi itu bertujuan mengingatkan kerajaan hari ini mengenai janji mereka.

Katanya, sebelum memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kerajaan melalui 60 janji mereka menyatakan untuk memberi pertimbangan yang khusus berkenaan masalah alam sekitar dan ia berkait rapat dengan isu yang diperjuangkan rakyat selamat ini iaitu Lynas.

“Dahulu sebelum menang PRU14 mereka ada masukkan berkenaan Lynas dalam janji mereka iaitu hendak hentikan operasi syarikat ini namun kini bila sudah menjadi kerajaan, ianya tidak berlaku,” katanya.

Perhimpunan yang disertai ratusan penduduk dipercayai datang dari dalam dan luar Pahang itu turut melakukan demonstrasi mengoyakkan buku janji kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebagi simbolik ketidak puasan hati mereka.

Khamis lalu Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) dalam satu kenyataan memberitahu lesen operasi Lynas Malaysia Sdn Bhd diperbaharui selama enam bulan namun dengan disertakan beberapa syarat utama.

Antara syarat yang dikenakan terhadap kilang nadir bumi itu ialah pemindahan proses ‘Cracking and Leaching’ ke luar negara dan pembinaan PDF.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Ogos 2019 @ 10:54 AM