MUJAHID pada sidang media selepas mesyuarat berkenaan. FOTO Zaman Huri Isa
Siti Nor Hidayatidayu Razali
sitinor@hmetro.com.my


SEMUA penceramah dari luar negara termasuk Dr Zakir Naik perlu menghormati kepelbagaian kaum dan agama di negara ini dengan tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh memecah belahkan perpaduan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, perpaduan antara kaum di negara ini dibina sejak sekian lama iaitu sebelum merdeka lagi.

Katanya, oleh itu, semua penceramah luar perlu menghormati kerana suasana negara ini adalah berbeza.

“Cuma pendekatan Zakir tidak sesuai dengan masyarakat Malaysia. Apabila berlaku isu yang dibicara hari ini, pandangan saya bersikap konsisten seperti pada 2018.

“Saya ada membuat kenyataan dan antara kenyataannya Malaysia adalah negara pelbagai agama dan kaum menyebabkan suasana berbeza.

“Kemunculannya (Zakir) di tempat awam menimbulkan keresahan. Ini bukan soal beliau ada ilmu ke tidak, itu cerita lain tetapi kita bercakap realiti politik dan masyarakat serta tradisi negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Tahunan Parti Amanah Negara (AMANAH) Kawasan Ketereh di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kadok, di Kota Bharu, malam tadi.

Mujahid juga berkata, beliau sudah melihat keseluruhan video ucapan Zakir dan ia boleh mengundang pelbagai persepsi.

Katanya, walaupun Zakir memaklumkan tidak berniat dan ucapannya disalah tafsir, namun beliau perlu berhati-hati dan setakat ini, semua program Zakir diberhenti buat seketika.

Menurutnya, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tetap kata bahawa Zakir boleh tinggal di sini, tetapi perlu menghormati undang-undang negara ini

“Kita tidak tuju kepada beliau (Zakir) sahaja, tetapi kepada semua penceramah antarabangsa yang perlu meraikan dan memahami keadaan di Malaysia.

“Ia juga membabitkan hubungan kita dengan India kerana beliau (Zakir) dikehendaki,” katanya.

Pada masa yang sama, Mujahid berkata, semua pihak termasuk pembangkang supaya tidak mengheret isu Zakir kepada doktrin agama sempit kerana ia membabitkan kepentingan perpaduan dan hubungan dengan negara luar.

Akhbar melaporkan, penceramah bebas itu didakwa memberikan kenyataan kontroversi terhadap kaum Cina di negara ini sebagai kenyataan balas kepada pihak yang mengarahkannya supaya keluar dari Malaysia.

Zakir dalam satu syarahan di Kelantan juga didakwa mengeluarkan kenyataan mengaitkan penganut Hindu di negara ini lebih percaya kepada Perdana Menteri di India berbanding Dr Mahathir.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Ogos 2019 @ 8:41 AM