ADZANIZAM (kanan) bersama Mansor mengutip limau di kebun. FOTO Shahrizal Md Noor
Shahrizal Md Noor
am@hmetro.com.my

MELIHAT kesukaran ibu bapanya mengusahakan tanah selama ini, seorang lelaki mengambil keputusan membahagikan masa kerjanya di pejabat dan mengusahakan tanah kebun milik orang tuanya itu.

Kini, selepas dua tahun berbudi pada tanah, akhirnya membuahkan hasil apabila tanah seluas 1.22 hektar menjadi kebun dengan tanaman limau asam dan limau kasturi.

Adzanizam Mansor, 38, dari Kampung Wang Perah, Jitra berkata, tanaman limau yang diusahakannya sejak dua tahun lalu secara komersial kini mampu menjana pendapatan lumayan selain menampung kehidupan keluarganya.

Dia yang bertugas sebagai Penolong Pegawai Penerbitan di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok akan membahagikan masanya setiap petang selepas pulang dari kerja untuk mengerjakan tanah milik bapanya, Mansor Md Zain, 62, yang sebelum ini bersemak.

“Hampir setiap petang selepas pulang dari pejabat, saya akan menukar pakaian dan terus bertani di tanah ini hingga lewat petang.

“Malah, cuti hari kelepasan am dan hujung minggu juga akan digunakan bercucuk tanam sambil adakalanya dibantu bapa selain anak dan isteri,” katanya kepada Harian Metro ketika ditemui di kebunnya.

Katanya, dia mampu meraih pendapatan sekitar RM6,000 sebulan.

“Di kebun ini sahaja, ada hampir 1,700 pokok limau dan Alhamdulilah berkat rezeki Allah kami mampu meraih pendapatan sekitar RM6,000 sebulan.

“Ayah banyak memberi tunjuk ajar cara penjagaan pokok yang betul dan turut membantu memasarkan hasil tanaman diusahakan ini,” katanya.


HAMPIR 1,700 pokok limau ditanam di kebun seluas 1.22 hektar. FOTO Shahrizal Md Noor

Adzanizam berkata, setiap hari purata 200 hingga 300 kilogram (kg) buah dikutip untuk dijual kepada peraih yang datang mengambil di kebunnya.

“Setiap hari purata 200 hingga 300 kg limau dikutip di sini, sebelum dijual kepada peraih.

“Kami menjual dengan harga borong antara RM2 hingga RM5 setiap kg dengan purata 3,000kg sebulan,” katanya.

Menurutnya, selain limau, dia turut menjual anak benih pokok yang disemai sendiri seperti cempedak madu serta durian pelbagai baka seperti Musang King, Duri Hitam, Udang Merah dan Telur Buaya dengan harga antara RM10 hingga RM60 setiap pokok.

“Pulangannya agak lumayan kerana pelanggan terdiri daripada pengusaha yang mempunyai dusun atau kebun sendiri yang luas.

“Proses menyemai dilakukan pada waktu malam kerana cuaca sejuk selain benih pokok akan tumbuh dengan segar,” katanya yang dibantu dua pekerja.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Ogos 2019 @ 6:32 AM