DR SAHRUDDIN (tiga dari kanan) bersama Maskot Tahun Melawat Johor 2020 pada Majlis Pelancaran Logo dan Maskot Tahun Melawat Johor 2020, semalam. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Mary Victoria Dass
maryvictoria@hmetro.com.my

KERAJAAN Johor menyasarkan 17.4 juta pelancong akan melawat negeri ini sepanjang Tahun Melawat Johor 2020.

Menteri Besar, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, daripada jumlah itu, 8.4 juta pelancong dijangka melawat dan bermalam di negeri ini.

Beliau berkata, sasaran kerajaan negeri adalah mempromosikan 20 destinasi utama untuk dilawati serta 20 acara menarik dianjurkan di semua daerah.

“Kali terakhir Tahun Melawat Johor pada 2003 iaitu 17 tahun lalu. Kita harap pada tahun hadapan, lebih ramai pelancong melawat Johor.

“Harapan saya, semua rakyat Johor dapat berganding bahu untuk menjayakan Tahun Melawat Johor 2020 dengan mengamalkan budaya mesra pelancong dan menjaga kebersihan,” katanya.

Terdahulu, beliau menyempurnakan Majlis Pelancaran Logo dan Maskot Tahun Melawat Johor 2020 di Paradigm Mall, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Liow Cai Tung.

Dr Sahruddin berkata, kerajaan negeri berharap tiada pihak mengambil kesempatan terhadap pelancong melawat negeri ini kerana ia akan memberi kesan negatif kepada Johor.

Menurutnya, segenap lapisan masyarakat seharusnya menunjukkan nilai murni seperti memberi salam, melemparkan senyuman dan menghulurkan bantuan kepada pelawat.

“Kepada pemandu e-hailing, bersama-sama membantu mempromosikan negeri Johor supaya lebih ramai pelancong melawat negeri ini,” katanya.

Sementara itu, imej gambus dipilih untuk divisualkan menjadi logo Tahun Melawat Johor 2020 sepanjang tahun depan.

Pemilihan alat muzik tradisional mengiringi persembahan tarian zapin dan sinonim dengan Johor itu juga turut mencerminkan kesungguhan negeri ini dalam memulihara khazanah warisan budaya, keunikan serta warna-warni Johor.

Sementara itu, Harimau Malaya yang dinamakan Joh iaitu singkatan nama Johor dipilih sebagai maskot Tahun Melawat Johor 2020.

Joh dipilih sebagai maskot yang mana menjadi simbol keberanian dan semangat kebebasan dimiliki rakyat Johor.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Ogos 2019 @ 6:02 AM