TUNKU Azizah memaklumkan baginda pengguna produk kecantikan mampu milik. FOTO Keratan Twitter Tunku Azizah.
Faliq Lajim
faliq.lajim@nstp.com.my


SIKAP rendah diri Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah membuatkan baginda sentiasa menjadi tumpuan rakyat di laman sosial.

Terbaharu, Tunku Azizah memuat naik gambar produk penjagaan kulit, Nivea bersama keterangan gambar terima kasih dan emoji hati di Twitter peribadinya.

“Thank you to Nivea (Terima kasih kepada Nivea),” titahnya yang turut meninggalkan komen memaklumkan sememangnya memakai krim itu.

Status itu mendapat lebih 2,000 ulang ciap dan 11,260 tanda suka serta pelbagai reaksi warganet.

Rata-rata warganet meninggalkan komen positif dengan memuji keperibadian baginda yang merendah diri kerana menggunakan produk mampu milik.

Pengguna Twitter @athomewithida berkata, ia adalah satu-satunya produk krim yang berkesan.

“Tidak perlu krim yang mahal. Dari arwah nenek saya sehinggalah arwah ibu saya. Sekarang ini, giliran saya dan anak-anak.

“Siapa kata perlu membelanjakan wang yang banyak untuk mempunyai kulit yang cantik. Alhamdulillah, ada beberapa perkara yang tidak berubah sepanjang generasi,” katanya.

Pengguna Twitter @CoreraMoon pula menambah produk itu adalah kegemarannya sejak sekolah menengah terutamanya jenis losyen.

Manakala, pengguna @syarfun_sukri bertanyakan kepada Tunku Azizah sekiranya produk itu boleh digunakan oleh lelaki.

“Nak putih macam Tuanku juga,” katanya.

Sebelum ini, dalam sesi temuramah istimewa bersama baginda sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong, Tunku Azizah berkongsi cara baginda menjaga kulit wajah dan memaklumkan tidak cerewet.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Ogos 2019 @ 7:09 PM