Yusri Abdul Malek
Yusrimalek@hmetro.com.my


DIMAKI, ditengking dan dimarah adalah asam garam buat Sahabat Maktab dalam melayani jemaah haji di maktab penginapan masing-masing.

Namun begitu, buat Sahabat Maktab seramai 378 orang musim haji tahun ini, mereka bertekad untuk terus membantu sebaik mungkin jemaah haji agar dapat menyempurnakan ibadah dengan baik.

Paling memeritkan mereka ketika operasi masyair yang memerlukan kesabaran yang tinggi.

Seorang petugas haji, Mohamad Wafiq Md Aril, 19, berkata, dimaki dan dimarah jemaah adalah biasa bagi dirinya sepanjang menjalankan tugas sukarelawan di Maktab 82.

SYED Saleh (berbaju Melayu) bersama Sahabat Maktab menyanyikan lagu Sahabat Sejati. FOTO Yusri Abdul Malek

Beliau yang menuntut dalam bidang Pengurusan Logistik Kolej Seri Ayu di Tampin, Negeri Sembilan berkata, dia berazam menjadi Sahabat Maktab bagi mengetahui perjalanan pengurusan logistik haji yang dijalankan Tabung Haji (TH) di samping melihat keperluan jemaah.

"Saya pernah dimarah dan ditengking tetapi saya tidak melenting atau memarahi balik jemaah terbabit tetapi mengambil sikap bertenang dan cuba menerangkan situasi yang berlaku dan tindakan yang diambil.

"Sebagai contoh ketika masyair, bas maktab lambat dan jemaah mulai resah dan mencari Sahabat Maktab bagi bertanya itu dan ini. Namun dengan kesabaran dan jawapan diberikan, masalah itu dapat diselesaikan dengan baik," katanya ketika ditemui selepas Majlis Penghargaan Sahabat Maktab TH musim haji 1440/2019 di Abraj Al Janadriyah di Makkah, hari ini.

MOHAMAD Wafiq Md Aril. FOTO Yusri Abdul Malek

Majlis dirasmikan Ketua Rombongan Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

Beliau berkata, pengalaman yang dikutip ketika menjadi Sahabat Maktab amat berguna dalam bidang diploma yang diikuti kini.

Seorang lagi Sahabat Maktab, Dr Yusni Yusuff berkata, menjadi Sahabat Maktab bukanlah tugas yang mudah.

"Kena tengking, dimarah. Itu dugaan. Semua petugas melaluinya. Kadang kala kena pekakkan telinga mendengar masalah jemaah ini," katanya.

Sementara itu, Syed Saleh berkata, majlis berkenaan bertujuan memberi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Sahabat Maktab yang sama-sama berganding bahu bersama petugas haji di maktab penginapan masing-masing dalam menyantuni jemaah haji.

Katanya, walaupun mereka ini adalah sukarelawan tetapi komitmen mereka adalah tinggi dan saling membantu serta memberi semangat kepada jemaah dalam melancar lagi perjalanaan ibadah jemaah.

SAHABAT Maktab banyak nembantu melancarkan perjalanan jemaah haji di maktab penginapan masing-masing. FOTO Yusri Abdul Malek

"Operasi masyair adalah yang paling mencabar dan mereka ini banyak membantu walaupun ketika itu semua jemaah sedang bermunajat di dalam khemah.

"Saya mendoakan agar peranan yang diberi mereka mendapat ganjaran pahala sewajarnya di akhirat," katanya.

Menurutnya, pada masa depan, TH akan menambah baik lagi peranan Sahabat Maktab ini agar lebih berkesan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Ogos 2019 @ 5:31 PM