Mohd Herwan mahu kongsi kemahiran tukang kunci dengan golongan muda. Foto Yusmizal Dolah Aling
Yusmizal Dolah Aling
yusmizal@hmetro.com.my


BERBEKALKAN ilmu yang dimiliki dalam bidang pembuatan kunci, seorang lelaki bertekad untuk membantu usahawan muda dengan memberikan latihan dalam usaha menjadi tukang kunci yang berjaya.

Iai kerana sepanjang pemerhatiannya selama tiga tahun di dalam industri itu, tidak ramai anak muda yang aktif mungkin kerana ia bukanlah karier yang popular berbanding pekerjaan glamor yang lain.

Mohd Herwan Zainol, 36, berkata, sejak memulakan kerjaya sebagai tukang kunci profesional pada 2016, dia merasa agak 'terasing' apabila dikelilingi rakan usahawan bukan Melayu yang mendominasi profesion itu sejak sekian lama.

"Pada mulanya saya langsung tidak tahu ini juga satu peluang untuk menjana pendapatan lumayan.

“Sehinggalah saya sendiri belajar dan jadi tukang kunci sendiri. Rupanya ia adalah bidang yang menyeronokkan dengan permintaan yang tinggi setiap hari.

"Sebab itu saya tawarkan latihan kepada sesiapa yang berminat supaya dapat sama-sama meneroka bidang ini.

“Ia bukan saja tentang duit, tapi ada masanya kita dapat membantu orang ramai yang kesusahan apabila kunci mereka hilang atau rosak," katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur.

Mohd Herwan berkata, menerusi cara itu, dia dapat berkongsi ilmu yang ada dengan orang lain dan ia secara tidak langsung akan mengembangkan karier tukang kunci sebagai pekerjaan pilihan terutama bagi mereka yang ingin menjadi usahawan.

Katanya, setiap hari dia menerima lebih 50 kes kunci rosak atau hilang di Lembah Klang dan ada ketikanya 'tak menang tangan' melayani semua kes, semuanya perlu diselesaikan dalam tempoh singkat.

"Sebab itu saya berasa ingin membantu seramai mungkin. Secara tidak langsung, ramai yang menghadapi masalah seperti terperangkap dan sebagainya akan rasa lega.

"Sebagai contoh, sepanjang bulan puasa baru-baru ini, hampir setiap hari saya terima kes terperangkap di dalam rumah, pintu kereta tak dapat dibuka dan sebagainya. Jadi saya tunggu sedia 24 jam kerana ingin membantu dengan kos yang berpatutan," katanya.

Menurutnya, untuk menambahkan ilmu berkaitan kunci, dia menjadi ahli Gabungan Persatuan Peniaga Kunci Malaysia (GPPKM) bagi meneroka peluang baru bersama mereka yang lebih lama di dalam bidang ini.

Orang ramai yang ingin mengetahui lebih lanjut boleh menghubunginya menerusi Facebook Wan Locksmith atau GPPKM.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Ogos 2019 @ 5:22 PM