Garret Dawum
garret@hmetro.com.my


LELAKI Indonesia meninggal dunia selepas dibaham buaya ketika menyelam bagi membetulkan jala ikannya yang tersangkut di Sungai Lobak Stoh, Rambungan, Lundu, semalam.

Mayatnya ditemui pada 3.05 petang, hari ini di Sungai Lubok Kertang.

Ketua Polis Daerah Lundu Deputi Superintendan Wong Chee Keong berkata, ketika kejadian pada 2.40 petang, mangsa dikenali Ridwan Jayadi, 25, ke sungai terbabit untuk menjala ikan bersama dua sepupunya.

Katanya, dia menyelam untuk membetulkan jala ikan namun, tiba-tiba disambar buaya dan sempat meminta tolong sebelum ditarik ke dalam air.

“Difahamkan 10 minit kemudian, buaya itu timbul semula dengan mangsa di mulutnya pada jarak 15 meter dari lokasi, sebelum menghilang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Wong berkata, mangsa datang ke Sarawak pada pertengahan Julai lalu melalui pintu masuk sempadan Biawak-Lundu secara sah, bertujuan menziarahi keluarga sepupunya.

“Kedalaman sungai dianggarkan lapan meter,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lundu dikejarkan ke lokasi untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

“Mayat mangsa dijumpai di Sungai Lubok Kertang pada 3.05 petang hari ini dan dibawa ke jeti sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Ogos 2019 @ 5:19 PM