Noor Hidayah
Tanziziam@hmetro.com.my

EMPAT jam dan 21,000 gambar diperlukan sukarelawan wanita Yayasan Dana Kebajikan Muslim Malaysia (YDKMM) untuk menghasilkan kolaj Jalur Gemilang terbesar di Pantai Teluk Nipah, Pangkor, hari ini sekali gus diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR).

Inisiatif 123 sukarelawan berusia 18 hingga 30 tahun itu mencipta bendera berukuran 12.2 meter panjang dan 27.3 meter lebar, sempena Hari Kemerdekaan Malaysia malah, mereka memecah rekod kolaj Jalur Gemilang terbesar pada 2010.

Sijil MBOR disampaikan oleh Pegawai Penyelidik MBOR, Nurul Fatihah Mahmood kepada Pengarah Program Perkhemahan Belia Kebangsaan YDKMM, Izzatul Athirah An-Nur Mohd Hizul Azri.


Kolaj Jalur Gemilang terbesar dicatatkan Malaysia Book of Records. FOTO Effendy Rashid.

Menurut Izzatul Athirah An-Nur, mereka mengambil masa tiga bulan untuk mengumpul gambar sukarelawan YDKMM bersama Jalur Gemilang ketika menjalankan aktiviti kemanusiaan, kemasyarakatan dan pendidikan di dalam dan luar negara seperti Yaman, Afrika Tengah dan Jepun.

“Untuk menghasilkan bendera pula ambil masa seminggu dan ia siap dengan kerjasama semua pihak yang mana 21,000 gambar dilekatkan untuk memenuhi Jalur Gemilang.

“Projek ini turut membabitkan lima sukarelawan dari Indonesia dan tiga dari Mesir, bersempena bulan kemerdekaan. Kita mahu menunjukkan semangat patriotik dalam kalangan belia dan Ogos juga adalah bulan sukarelawan sedunia,” katanya ditemui, hari ini.

Katanya lagi, antara cabaran dihadapi adalah gambar siap disusun diterbangkan angin dan ia sukar diangkat kerana terlalu besar.

Selain program itu, kem tiga hari dua malam terbabit diisi dengan aktiviti lain termasuk kesedaran pemuliharaan penyu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Ogos 2019 @ 4:26 PM
SUKARELAWAN wanita YDKMM bersama kolaj gambar yang membentuk Jalur Gemilang terbesar di Pantai Teluk Nipah. FOTO Effendy Rashid.